Dengan penuh rasa teruja, Rocketfuel Entertainment menyambut kedatangan bintang muda berbakat, Nadeera, ke dalam keluarga besar mereka. Untuk memulakan lembaran baru dalam karier seninya, Nadeera telah melancarkan single dan muzik video terbarunya, Bukan Lagi Kita, yang dirilis serentak pada hari pelancaran—sebuah langkah yang penuh bermakna dalam perjalanan seninya.
Single ini adalah hasil kolaborasi luar biasa antara Nadeera dan dua nama besar dalam industri muzik—komposer terkenal Hael Husaini serta bakat muda yang sedang meningkat naik, Iqie Hugh. Bukan Lagi Kita memperlihatkan kematangan vokal Nadeera yang disatukan dengan sentuhan magis kedua-dua komposer berbakat ini, menghasilkan sebuah karya yang penuh emosi dan keindahan.
Beliau, dalam perkongsiannya, menyatakan rasa syukurnya, “Dapat menyanyikan lagu hasil ciptaan Hael Husaini adalah seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Sebagai peminat setia lagu Peluang Kedua dan Diam, saya tidak teragak-agak menerima tawaran ini apabila Hael mengemukakan karya yang sesuai dengan saya. Sepanjang proses rakaman, Hael memberikan kerjasama yang luar biasa. Saya amat berharap agar perjalanan seni saya terus berkembang dan bakat saya dapat diketengahkan di platform yang lebih besar, insya-Allah. Mengenai kerjasama dengan Rocketfuel Entertainment, saya sangat bersyukur atas peluang ini, terutamanya selepas kemenangan saya di Big Stage. Saya yakin kerjasama ini akan terus kukuh di masa depan.”
Di pihak Hael Husaini, beliau turut berkongsi kebanggaannya terhadap kolaborasi ini, “Tahun lepas, saya bertanya kepada rakan-rakan dalam industri mengenai siapa yang berpotensi menjadi bintang seterusnya, dan ramai yang menyebut nama Nadeera. Setelah hampir empat tahun tidak menghasilkan lagu—dengan Peluang Kedua menjadi karya terakhir saya—tahun ini saya kembali dengan beberapa lagu baru, termasuklah Bukan Lagi Kita untuk Nadeera. Saya sangat kagum dengan kemudahan bekerja dengan Nadeera, dan bersama Iqie Hugh, kami berjaya menghasilkan sebuah demo yang akhirnya menjadi lagu ini. Saya berharap peminat akan terus menyokong karya Nadeera.”
Ketua Rocketfuel Entertainment, Wee Sher Leen, turut meluahkan keyakinannya, “Memilih Nadeera untuk menyertai Rocketfuel Entertainment adalah keputusan yang tepat. Kekuatan vokal dan keserasian kerjasama sejak kemenangannya di Big Stage menjadikan beliau salah satu artis terbaik di dalam Rocketfuel. Dengan pelancaran lagu ini, kami berharap ianya dapat memikat hati peminat yang sudah lama menantikan karya baru daripada Nadeera.”
Para peminat kini boleh menikmati Bukan Lagi Kita di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube, dan YouTube Music. Selain itu, mereka juga boleh menghasilkan video kreatif di TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini. Jangan ketinggalan untuk menonton muzik video eksklusif Bukan Lagi Kita yang kini boleh didapati di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.