Oldtown White Coffee, rangkaian restoran halal terbesar di Asia, mengisytiharkan sokongannya terhadap pelancaran Menu Rahmah (KPDN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, akan merasmikan program ini hari ini di OLDTOWN White Coffee Cawangan Sri Rampai di Kuala Lumpur.
Mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat serta menyahut seruan kerajaan untuk menangani kesulitan golongan kurang berkemampuan, OLDTOWN bakal memperkenalkan kepada pelanggan pelbagai pilihan makanan dengan harga yang berpatutan dibawah Menu Rahmah bermula daripada harga RM4.50.
Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada untuk makan di Restoran atau pesan melalui platform penghantaran makanan yang terpilih. Pembelian boleh dibuat bermula 8 pagi sehingga tamat waktu operasi, setiap hari di 168 cawangan OLDTOWN White Coffee seluruh Malaysia (kecuali outlet di lapangan terbang dan kawasan pelancongan).
Ketua Pegawai Eksekutif Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd, Dawn Liew berkata pelancaran Menu Rahmah ini juga merupakan satu inisiatif penghargaan kepada rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada restoran OLDTOWN sejak penubuhan pada 2005.
“Kita menyambut baik usaha kerajaan Malaysia dengan menyertai Menu Rahmah yang telah mula dilancarkan sejak 31 Januari 2023 oleh KPDN dan berharap agar inisiatif ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia.
“Penyertaan pihak OLDTOWN dalam menawarkan Menu Rahmah dilihat sebagai peluang untuk mendekati semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira golongan berpendapatan tinggi atau rendah. Kita sangat berbesar hati dengan pelancaran ini dan berharap dapat menyediakan inisiatif yang lebih baik pada masa akan datang,” tambah Dawn Liew.
Selain melancarkan Menu Rahmah, OLDTOWN juga mengumumkan beberapa perlaksanaan inisiatif lain pada tahun ini yang berobjektifkan untuk membantu mengimbangi kos sara hidup masyarakat. Antara lainnya adalah OLDTOWN telah mengadakan Kerjasama dengan platform penghantar makanan foodpanda di mana pelanggan boleh memesan makanan OLDTOWN hanya melalui platform ini.
Selain itu, OLDTOWN juga akan memperkenalkan Menu Ramadan Raya sempena Ramadan yang bakal menjelma dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan April nanti. Menu ini dijangka akan mula ditawarkan kepada pelanggan mulai pertengahan bulan ini dengan pelbagai Menu Sajian berbuka puasa yang akan menarik perhatian pelanggan.
OLDTOWN turut mengeluarkan produk “Ready to Dish” dalam bentuk produk sejuk beku yang sangat sesuai untuk memudahkan pelanggan menyediakan hidangan ketika bersahur dan berbuka puasa di rumah dengan lebih cepat dan mudah apabila bulan Ramadan tiba nanti.
Produk ini akan ditawarkan kepada pelanggan dalam masa yang terdekat. Inisiatif pengeluaran produk ini mensasarkan golongan bekerja atau suri rumah dengan mengambil kira penyediaan hidangan makanan yang mudah dan pantas dengan kualiti yang terjamin.
OLDTOWN White Coffee yang merupakan tanda dagangan Kopitiam Asia Pacific yang kini telah beroperasi di lebih 180 cawangan di seluruh negara serta di Singapura, Indonesia, Hong Kong, dan Filipina.
Selain menawarkan pelbagai menu makanan berkonsepkan kopitiam, OLDTOWN juga mempunyai pelbagai produk kopi putih campuran yang dijual di semua rangkaian restoran. Untuk maklumat lanjut mengenai senarai menu, produk, tawaran dan rangkaian OLDTOWN White Coffee sila layari www.oldtown.com.my .