LATEST

Pembelajaran Berasaskan Aktiviti: Meningkatkan Keberanian dan Kreativiti Murid

Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi TV3, Tonton, dan DIDIKTVKPM terus komited dalam usaha memperkasa generasi muda dengan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’. Selepas kejayaan program di SMK Ayer Keroh, Melaka, program ini seterusnya diadakan di SMK Convent (M) Kajang pada 18 Februari 2025, dengan lebih 400 murid menyertai aktiviti menarik dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Program ini bertujuan untuk merangsang kreativiti, meningkatkan interaksi sosial, dan menggalakkan semangat pembelajaran dalam kalangan murid-murid. Melalui pendekatan interaktif yang menyeronokkan, murid diberikan peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan, mendalami ilmu pengetahuan, serta mengembangkan bakat terpendam mereka dalam suasana yang santai dan menyokong.

Bermula pada pukul 9.00 pagi, lebih 400 pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti yang merangsang kreativiti dan kemahiran komunikasi, termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, serta rakaman kandungan video untuk platform digital TV3. Pelbagai permainan eksplorasi seperti Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match, dan Tic Tac Toe turut disediakan bagi memeriahkan suasana dan memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan kebolehan mereka.

KAJANG 18 FEBUARI 2025. Selebriti, Nabil Aqil berkongsi pengalaman belajar pada pelajar sekolah ketika program Tonton Gen+ Suai kenal Sekolah di SMK Convent (M) Kajang. STR/HAZREEN MOHAMAD

Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, berkongsi, “Program ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia bertujuan untuk membuka ruang kepada murid-murid menonjolkan potensi diri mereka, membina keyakinan diri, dan memberi mereka peluang untuk mencungkil bakat yang mungkin belum mereka sedari. Selain itu, dengan adanya perkongsian daripada selebriti yang hadir, kami berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha dan mengejar impian mereka di masa depan.”

Selain itu, Safi Shayla turut menyertai program CSR ini sebagai rakan kongsi, dengan menyampaikan tips penjagaan rambut kepada pelajar hijabi melalui inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja perempuan mengenai pentingnya penjagaan diri, serta memberi dorongan untuk membina keyakinan diri.

Selain aktiviti interaktif, murid-murid berpeluang beramah mesra dengan selebriti tempatan seperti Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, dan Aizat Saha, yang turut memberikan sokongan dan motivasi kepada pelajar. Program ini juga memberi pengiktirafan kepada pelajar yang menyerlah melalui anugerah khas dan penyampaian plak penghargaan kepada pihak sekolah atas sokongan mereka terhadap penganjuran program ini.

Turut hadir dalam program ini adalah Puan Ruzihan binti Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang, Puan Nor Aishah binti Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat, dan Puan Kazlina Mohd Kassim, Pakar Jenama & Tinjauan Maklumat SAFI.

Program ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam kehidupan murid-murid, memberikan mereka peluang untuk lebih berkeyakinan, lebih kreatif, dan bersedia menghadapi cabaran di masa depan. Dengan sokongan rakan kongsi seperti Safi Shayla dan kehadiran selebriti tempatan, program ini berpotensi untuk mencetuskan perubahan yang bermakna dalam kehidupan generasi muda di Malaysia.