Perasmian Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS: Cawangan Putrajaya dan Labuan – 2024

hemodialisis

Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) melalui Pusat Perniagaannya hari ini telah membuka sebuah lagi cawangan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS iaitu di Putrajaya. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dihadiri oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Prof. Dr. Wan Mohd Azizi bin Wan Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI bersama pengurusan kanan MAIWP dan UCMI.

Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) ini adalah kerjasama strategik antara MAIWP dan UCMI (dahulunya dikenali sebagai PICOMS), bertujuan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan. Pusat ini dilengkapi dengan teknologi hemodialisis terkini termasuk Mesin Hemodiafiltration (HDF), yang menunjukkan komitmen dalam memberikan rawatan terbaik dan terkini kepada pesakit.

Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menegaskan bahawa pembukaan pusat ini merupakan usaha penting MAIWP dan UCMI dalam memperkasakan khidmat kesihatan kepada masyarakat, terutamanya golongan kurang berkemampuan. Beliau turut menekankan pentingnya sinergi antara institusi agama dan pendidikan dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

“Pelan Transformasi Al Falah dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia adalah inisiatif penting yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam, termasuk kesihatan. Pelan ini menekankan kepentingan kesedaran kesihatan melalui kempen meluas. Ini seiring dengan matlamat Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS, di mana penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses adalah menjadi keutamaan,” kata YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.

Pembukaan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) Cawangan Putrajaya ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti untuk pesakit asnaf tanpa membebankan kewangan mereka, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat. Selain itu, PHMP ini bakal berfungsi sebagai tempat latihan bagi program post-basic renal serta lapangan kajian untuk pelajar pasca-siswazah, dengan kajian yang menumpukan kepada inovasi rawatan perubatan yang diharapkan memberi manfaat besar kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *