Sudah empat minggu berlalu sejak Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) memulakan siarannya, dan kini persaingan semakin sengit apabila hanya enam peserta yang tinggal untuk mara ke peringkat seterusnya. Dari kelompok Top 20 hingga ke Top 6, episod keempat menyaksikan banyak drama dan kejutan, membuktikan bahawa CSOIAM bukan hanya soal bakat tetapi juga keupayaan menyeluruh untuk menjadi yang terbaik.
Dengan hanya empat minggu lagi menuju ke pentas akhir, para penonton semakin tidak sabar untuk mengetahui siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara pertandingan berprestij ini.
Barisan juri tetap, Dato’ Yusry dan Ziana Zain, semakin tegas dalam memberikan kritikan membina, manakala Hael Husaini sebagai juri jemputan episod keempat mencuri perhatian dengan pujiannya yang bersahaja namun penuh makna. Salah satu momen paling panas adalah kritikan terhadap Rezza Shah, peserta yang sebelum ini diberikan imuniti pada episod pertama tetapi gagal memanfaatkan peluang tersebut. Persembahannya yang kurang memuaskan menerima kritikan pedas daripada para juri.
Sebaliknya, peserta seperti Zazleen berjaya mencuri perhatian dengan persembahan penuh emosi yang membuatkan Ziana Zain sebak hingga menitiskan air mata. Episod ini turut menampilkan Marygrace yang berpeluang berduet dengan legenda Datuk Ramli Sarip, mempersembahkan lagu-lagu ikonik seperti “Nyanyian Serambi” dan “Doa Buat Kekasih”. Persembahan Marygrace menerima pujian melambung daripada barisan juri, membuktikan kemampuan beliau untuk terus bersinar.
Episod keempat menyaksikan dua peserta meninggalkan pertandingan, iaitu Rezza Shah dan Alya Mardien. Walaupun ramai bersetuju bahawa Rezza Shah wajar disingkirkan, penyingkiran Alya mencetuskan perdebatan hangat apabila warganet merasakan beliau layak mara ke peringkat seterusnya. Namun, undian rendah daripada penonton menjadi penentu nasib mereka. Kini, hanya enam peserta yang tinggal – Marygrace, Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Mariam, dan Kai Deva.
Untuk minggu kedua berturut-turut, Jimi diangkat sebagai juara Terpaling Fizz. Pada episod ketiga, Jimi memikat hati penonton dengan duet bersama Aina Abdul, manakala pada episod keempat, beliau berkolaborasi dengan Misha Omar. Dengan cabaran minggu kelima bertemakan “Evolusi AJL”, mampukah Jimi mengekalkan prestasinya.
CSOIAM terus menjadi topik hangat di platform X, TikTok, dan Instagram, mencatatkan lebih 4 juta tontonan setiap episod. Antara isu yang trending termasuk persembahan hambar Rezza Shah, keputusan penyingkiran Alya, dan komen tegas daripada juri.
Pada episod kelima, peserta akan menghadapi cabaran besar iaitu menyampaikan lagu-lagu ikonik dari pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Tema ini bakal menguji kemampuan mereka untuk memberi nafas baharu kepada lagu-lagu yang sudah menjadi legenda.
Saksikan Calpis Soda One In A Million setiap Ahad, jam 9.00 malam di TV3 atau strim secara HD di Tonton. Jangan lupa untuk mengundi peserta kegemaran anda kerana undian penonton menyumbang 40% kepada keputusan keseluruhan.
Penonton bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik, termasuk sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000!
Dapatkan sorotan eksklusif dan pengalaman belakang tabir melalui Fizz Journal, yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk terus mencipta fenomena luar biasa bersama CSOIAM!