Kalendar rock 2025 bakal dimulakan dengan sebuah persembahan epik yang menampilkan gabungan legenda rock tanah air menerusi Konsert Tower of Rock. Acara yang akan berlangsung pada 25 Januari di Menara Kuala Lumpur ini mengetengahkan nama besar seperti Barbarik, Cromok, dan Waris. Menggabungkan genre rock, metal, dan thrash heavy metal, konsert ini dijangka memukau para peminat dengan naskah-naskah terbaik mereka.
Konsert Tower of Rock merupakan hasil kerjasama antara Menara Kuala Lumpur dan FAR Worldwide sebagai penganjur acara, dengan sokongan Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur (SU.RE Sihat KL) sebagai rakan rasmi CSR. Sementara itu, jenama kecantikan FARMASI hadir sebagai penaja utama.
Menurut Pengarah Konsert dan Muzik, Man Keedal, konsert ini menawarkan pengalaman unik dengan kolaborasi legenda muzik dan generasi muda. “Barbarik dan Cromok telah membuktikan kehebatan mereka dalam genre masing-masing. Malam ini akan menjadi pentas pengukuhan legasi dan platform pelapis seperti Waris untuk terus memacu industri muzik tanah air,” katanya.
Malam istimewa ini juga bakal menjadi pentas penting buat Waris, band yang dibangunkan Man Keedal sejak tiga tahun lalu. Waris, yang menampilkan anggota muda seperti Adam, 14 tahun, dan vokalis utama Fuad Rahman, dijangka memberikan nafas baharu kepada muzik rock tempatan. Menariknya, beberapa lagu Lefthanded akan dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih segar, sesuai dengan gaya Waris.
Tidak hanya menampilkan persembahan individu setiap band, konsert berdurasi tiga jam ini juga menampilkan beberapa kolaborasi menarik. Salah satu segmen yang dinantikan adalah gabungan tiga pemain dram daripada Barbarik, Cromok, dan Waris di satu pentas, serta petikan gitar instrumental oleh Man Keedal bersama Jo Branko dan Karl menerusi medley lagu-lagu popular.
Konsert ini turut membawa misi sosial melalui kempen Rock SU.RE Sihat yang bertujuan menyokong gaya hidup sihat. Kempen ini diketuai oleh Presiden SU.RE Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, dan sebahagian hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada usaha ini.
Menurut Man Keedal, kesihatan merupakan elemen penting bagi memastikan muzik mencapai tahap optimum. “Sebanyak lima peratus hasil jualan tiket akan disalurkan kepada SU.RE Sihat KL sebagai tanda sokongan komuniti muzik terhadap amalan hidup sihat,” tambahnya.
Bagi peminat rock, tiket untuk konsert ini boleh didapati melalui laman sesawang www.ilassotickets.com, dengan harga RM188 (Silver), RM288 (Gold), dan RM388 (VIP). Promosi konsert dikendalikan oleh Mewah Event Management, sementara Ilasso Tickets bertanggungjawab menguruskan penjualan tiket.
Namun, pengumuman konsert ini turut membawa berita penangguhan konsert ROXtheNATION yang dijadualkan berlangsung di lokasi dan tarikh yang sama. Konsert itu, yang pada asalnya mempertemukan Waris, Barbarik, dan EdanE, terpaksa ditunda ke tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.
Konsert Tower of Rock kini menjadi pembuka tirai kepada kalendar 2025 dengan janji sebuah malam penuh aksi, kehebatan muzik, dan momen-momen tidak terlupakan di Menara Kuala Lumpur.