Kejutan demi kejutan telah ditunjukkan oleh keenam-enam pasangan Famili Duo menerusi persembahan mantap mereka selama 4 minggu bertanding. Kreativiti peserta pada episod lepas amat mengagumkan dan berjaya membuatkan penonton terhibur termasuklah persembahan daripada duo adik-beradik Syaiful dan Sharif.
Mas Idayu (Mummy) selaku juri sangat suka dengan persembahan mereka dan memberi 8 markah tetapi tidak berpuas hati dengan tempo nyanyian mereka yang tidak konsisten. Mummy telah berpesan supaya mereka lebih fokus kepada persembahan yang akan datang. Pada masa yang sama, vokal dan nyanyian mereka perlu jelas bagi mudah untuk difahami.
“Persembahan Syaiful dan Sharif begitu klise yang kita boleh jangka dan boleh predict.” Itu ayat yang keluar dari mulut Ajai selaku juri tetap. Ajai mahu melihat persembahan yang lebih kreatif daripada mereka dan pada masa yang sama mereka perlu menjaga vokal supaya tidak lari tempo.
Menurut Sharif, dia memang selalu menyanyikan lagu Hindustan. “Saya memang dah terbiasa dari kecil sebab kawasan kampung saya itu memang ramai peminat lagu Bollywood, jadi hari-hari kedengaran lagu Bollywood dan secara automatic kita hafal. Selain saya, Syaiful dan Atu pun boleh nyanyi lagu Hindustan. Jadi, proses menghafal itu memang semula jadi sebab kami sangat minat lagu-lagu Bollywood termasuk keluarga kami. Seterusnya bagi persediaan minggu hadapan iaitu tema idola atau legenda, InsyaAllah kami akan buat sehabis baik dan yang paling penting lagu itu dekat dengan hati orang supaya semua boleh terhibur.”
Syaiful juga mengakui dia memahami setiap bait-bait lagu yang dinyanyikan, “Berkenaan lirik yang dinyanyikan di atas pentas itu, semuanya betul. Kita memang ikut seratus peratus dan tidak hentam sembarangan, ia memang lirik yang sebenar. Untuk persiapan konsep minggu ini pula, kami ingin mempersembahkan lagu-lagu yang hype dan meriah untuk membuatkan penonton terhibur terutamanya juri. Bagi kami tema idola atau legenda ini sedikit sukar. Namun, kami menganggapnya sebagai cabaran baharu dan kami janji akan buat yang terbaik nanti.”
Duo adik-beradik ini telah memberikan persaingan sengit kepada pasangan duo yang lain, Malahan, persembahan mingguan mereka konsisten dan menghiburkan. Namun, mereka gagal meyakinkan kedua-dua juri untuk merangkul gelaran Duo Terbaik sekali lagi. Kesungguhan Syaiful dan Sharif telah memberikan hasil yang positif apabila mereka berjaya menduduki tangga kedua di carta keseluruhan (4 minggu) dengan markah terkumpul sebanyak 206.10 markah selepas Haqiem dan Ariff yang memperoleh 216.7 markah.
Gunakan hashtag #FamiliDuo untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial media dan teruskan mengundi duo selebriti kegemaran anda di pentas persembahan Famili Duo seterusnya pada 12 November 2023, pukul 9.00 malam di TV3! Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.