Pierre Andre Kembali Selepas 10 Tahun Dengan Filem ‘Jangan Pandang Belakang… Aku Tahu Asal Usulmu’

Setelah tujuh tahun menyepi dari industri perfileman, MIG Pictures membuat kemunculan semula dengan penuh gaya melalui majlis Malam Gala filem terbaru mereka, ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’. Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah itu dihadiri oleh rakan media, blogger, influencer, serta tetamu jemputan yang turut memberi sokongan terhadap kembalinya syarikat penerbitan ini ke dunia perfileman.

Sebagai satu simbolik untuk kebangkitan MIG selepas penantian yang panjang, CEO MIG, David Teo, dalam ucapannya menjelaskan bahawa keputusan untuk kembali aktif dalam industri ini memerlukan pertimbangan yang matang dan teliti. “Saya mengambil masa untuk melihat dan merancang dengan teliti supaya kembali dengan filem yang akan memberi impak besar kepada industri. ‘Jangan Pandang Belakang… Aku Tahu Asal Usulmu’ adalah satu simbolik kembalinya MIG ke dalam dunia perfileman Malaysia dengan penuh semangat baru,” ujar David Teo.

Menariknya, filem ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’ diserahkan kepada Pierre Andre, seorang pengarah terkenal yang pernah digelar ‘King of Horror’. Pierre yang sudah lama menyepi selama 10 tahun, membawa nafas baru dalam dunia filem seram tempatan dengan sentuhan uniknya. Keputusan ini diambil untuk memberi kelainan dan meningkatkan kualiti filem seram Malaysia dengan pengarah yang berpengalaman.

Filem seram yang penuh dengan kejutan dan ketegangan ini tidak hanya akan ditayangkan di Malaysia, tetapi juga di 14 negara lain. Negara-negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Myanmar, Vietnam, Laos, Rusia, New Zealand, Turki, dan Australia akan turut menyaksikan tayangan perdana filem ini. Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa bagi industri perfileman Malaysia dan menunjukkan potensi besar filem tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Menampilkan barisan pelakon berbakat, ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’ membariskan nama-nama seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, dan Kel Narina, yang memberikan warna tersendiri kepada filem ini. Setiap watak dalam filem ini memainkan peranan penting dalam meneruskan kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang cuba mencari tuan baru untuk didampingi. Namun, sesuatu yang misteri dan menakutkan berlaku, membawa kepada peristiwa-peristiwa yang menyeramkan.

Selain ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’, MIG turut memberi kejutan kepada para penonton dengan pengumuman dua lagi filem yang bakal ditayangkan pada awal tahun 2025. Filem ‘Dajal: Satu Malam di peDajal’ dan Citra Apartment kini sudah selesai penggambaran dan sedang menunggu tarikh tayangan. Dengan kejayaan ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’, MIG dijangka akan terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perfileman tanah air.

Semasa majlis Gala, sesi sidang media turut diadakan dengan pengarah Pierre Andre, pelakon, dan pihak MIG untuk berbincang mengenai perjalanan filem ini. Dalam temubual tersebut, mereka berkongsi pengalaman semasa penggambaran dan bagaimana setiap babak disusun dengan teliti untuk menimbulkan elemen seram yang sebenar.

David Teo turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan filem ini dan berharap ia akan diterima baik oleh penonton di seluruh dunia. “Kami berharap filem ini akan memberikan satu pengalaman seram yang luar biasa dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.”

Dengan pembukaan filem ‘Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu’ yang penuh dengan elemen kejutan dan ketegangan, MIG Pictures kini kembali dengan semangat baru untuk mendominasi dunia perfileman. Dengan sokongan dan kerja keras dari seluruh pasukan, David Teo dan Pierre Andre berharap dapat terus memberikan filem yang berkualiti tinggi, sekali gus memperkenalkan filem Malaysia ke pasaran antarabangsa. Nantikan tayangan filem ini yang akan datang ke pawagam-pawagam di 14 negara, serta pengumuman filem-filem MIG yang seterusnya.