Kumpulan muzik tempatan berjiwa seni, Pitahati, tampil dengan karya terbaru mereka berjudul “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, sebuah lagu yang mencuit hati tetapi menyengat dengan mesej kritikan sosial tajam. Lagu ini dilancarkan secara rasmi di bawah label Luncai Emas, dan menyaksikan gabungan mantap antara humor dan komentar realiti semasa.
Dicipta, ditulis lirik dan diproduksi sepenuhnya oleh Pitahati sendiri, karya ini turut menampilkan Husyairi Hamzah sebagai penerbit bersama. Proses rakaman, adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Mokhtar, memberikan sentuhan kemas kepada karya yang penuh warna ini.
Menurut vokalis Ilham, lagu ini membawa mesej sinis terhadap individu yang terlalu selesa dengan kuasa dan merasa seolah-olah segalanya milik mereka. “Ana Yang Punya bukan ditujukan kepada sesiapa secara langsung, tapi kami harap ia jadi ‘wake-up call’ kepada sesiapa yang terlupa diri. Tapi kita sampaikan dalam nada santai supaya senang hadam, tapi tetap kena.”
Lagu ini turut menyuntik elemen muzik klasik yang mengingatkan kepada karya The Doors seperti “Riders on the Storm”, walaupun mereka menegaskan ia bukan inspirasi utama. “Bunyi macam klasik tu mungkin satu kebetulan. Tapi kami memang suka ambil pendekatan eksperimental dengan gaya lama,” kata Hidayat, gitaris kumpulan.
Berbanding dengan karya-karya terdahulu Pitahati yang sering bersifat abstrak dan penuh falsafah, “Ana Yang Punya” lebih bersahaja, santai dan dalam kata mereka sendiri lebih lucu. “Kami pun makin tua dan makin kelakar kot!” seloroh Masrin, pemain bass, sambil menjelaskan bahawa mereka mahu muzik mereka jadi lebih ringan tanpa mengorbankan mutu.
Sebagai pembuka tirai kepada album terbaru yang bakal dilancarkan, “Ana Yang Punya” dipilih sebagai single pertama kerana sifatnya yang mencerminkan sisi baharu kumpulan it ringan, tetapi tetap berisi. “Kami mahu pendengar rasa seronok, sambil fikir-fikir balik siapa yang suka ‘claim’ semua benda tu dia punya?” tambah Ilham sambil tersenyum.
“Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)” kini boleh distrim di semua platform digital utama. Visualizer rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Pitahati.
Untuk maklumat dan perkembangan terkini tentang album baharu mereka, ikuti Pitahati di media sosial. Mereka janji lebih banyak kejutan bakal tiba!