Program Komuniti Ukay Bijak merupakan sebuah projek rintis yang dilancarkan oleh Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu golongan remaja yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2024 dengan semangat dan keyakinan yang tinggi.
Program ini hasil kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk Masjid Ukay Perdana, Pejabat Ahli Parlimen Ampang, YB Pn. Hjh. Rodziah Ismail, Skop Productions Sdn. Bhd., Lembaga Zakat Selangor (LZS), serta Restoran Paklong Ikan Bakar dan Restoran Nasi Vanggey, yang kesemuanya adalah merupakan komuniti di Ukay Perdana.
Program Komuniti Ukay Bijak ini menumpukan perhatian kepada golongan remaja yang bakal menghadapi peperiksaan SPM 2024, dengan fokus utama kepada motivasi pelajar serta pengajaran teknik dan panduan menjawab soalan bagi empat subjek teras SPM. Program ini terbuka kepada semua remaja, termasuk mereka dari golongan T20 hingga golongan Asnaf, dan dijadualkan berlangsung selama dua hari. Namun, penyertaan adalah terhad kepada 50 orang peserta sahaja bagi memastikan sesi pembelajaran yang lebih berkesan.
Selain aspek akademik, program ini juga menekankan pembangunan insaniah, dengan menggalakkan remaja untuk melihat masjid sebagai pusat pembangunan diri dari segi spiritual dan akademik. Pihak penganjur berhasrat untuk memupuk sikap positif dalam kalangan remaja, seperti menggalakkan mereka untuk bersolat berjemaah di masjid dan mengajar adab serta tingkah laku yang sesuai ketika berada di kawasan masjid.
Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh En. Arzaman Ariffin, yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana (Baru). Dalam majlis tersebut, turut hadir adalah Ahli Lembaga Masjid Ukay Perdana serta barisan jawatankuasa AJK Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana yang memberikan sokongan penuh kepada inisiatif ini.
Untuk makluman, Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana adalah sebuah persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan aktif menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat di Ukay Perdana.