Program ‘Sirih Pulang ke Gagang’ Mengumpulkan Alumni Kolej Vokasional Setapak

Kewujudan pusat alumni di institusi pendidikan membuktikan betapa pentingnya sumbangan bekas pelajar kepada pusat pengajian. Program Alumni ‘Sirih Pulang ke Gagang’ 2024 di SMV/SMT/KV ERT Setapak Kuala Lumpur dianjurkan oleh pentadbir pusat alumni Kolej Vokasional ERT Setapak untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh kesejahteraan warga vokasional.

Program ini, yang akan diadakan buat pertama kali di perkarangan Kolej Vokasional Setapak Kuala Lumpur, berjaya menghimpunkan 45 batch alumni bekas pelajar SMV/SMT ERT dan KVERT dari tahun 1975 hingga 2023, dengan kehadiran seramai 400 orang. Antara yang hadir termasuk Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor, Dato’ Zainuri (Pengasas Nurizz Kosmetik dan Pengerusi Alumni), dan Rasta Rashid (Pengasas Rasta Creation).

Majlis ini diadakan bertujuan untuk menghimpun bekas pelajar untuk mengeratkan hubungan silaturahim, mengenang memori, dan menyambung legasi di mana alumni dapat memberi inspirasi kepada masyarakat. Alumni SMV/SMT/KV telah melahirkan ramai tokoh korporat dan figura terkenal dari seluruh Malaysia, termasuk pereka fesyen selebriti, model antarabangsa, pensyarah, chef di hotel lima bintang, pemilik kosmetik terkemuka, mekap artis terkenal, serta pengarah syarikat bumiputra dan korporat.

Idea untuk mengadakan program Sirih Pulang ke Gagang ini adalah hasil cetusan Pengarah Kolej Vokasional ERT Setapak, Puan Hajjah Majmin Md. Noor. Rasta Rashid menjelaskan, “Selain menghimpunkan bekas pelajar, kami juga dalam proses mengutip dana untuk memperbaiki perpustakaan sekolah vokasional. Jika ada lebihan dana, ia akan digunakan untuk keperluan lain di sekolah.”

Beliau menambah, “Kami sengaja tidak mengadakan program ini di hotel kerana mungkin tidak semua mampu membayar harga yang tinggi. Dengan mengadakan di Dewan Kolej Vokasional, ia dapat mengurangkan kos dan kemudahan lain juga ada di sini.”

Menurut Dato’ Zainuri, program ini bertujuan mengumpulkan bekas pelajar yang berjaya. “Kami ingin menunjukkan bahawa bekas pelajar vokasional boleh berjaya dalam kehidupan mereka. Semasa penularan wabak Covid-19, saya sendiri tidak hidup susah kerana dengan kemahiran yang ada, saya dapat memasak dan menjual makanan, membolehkan saya hidup dengan selesa.”

Dato’ Zainuri juga berharap untuk menubuhkan Persatuan Anak-Anak TVET di Malaysia pada masa hadapan. Tiket penyertaan program ini dijual pada harga RM100 seorang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *