LATEST

Puteri Khareeza Bawa Kembali “Lumrah Cinta”, Karya Syamel dan Aepul Roza Setelah Tujuh Tahun Tertangguh

Setiap lagu punya kisahnya tersendiri ada yang tercipta dalam sekelip mata, dan ada pula yang menunggu masa yang tepat untuk dilahirkan. Begitulah perjalanan Lumrah Cinta, sebuah lagu ciptaan Syamel dan Aepul Roza yang mengambil masa hampir tujuh tahun sebelum akhirnya menemui penyampai paling sesuai penyanyi muda berbakat besar, Puteri Khareeza.

Dilancarkan di bawah label Alternate Records, lagu pop balada ini mengangkat tema cinta yang pernah dikhianati namun masih mampu memberi ruang untuk menyintai semula. Dengan susunan muzik serta lirik yang diperhalusi semula, Lumrah Cinta kini tampil dengan jiwa yang lebih matang dan emosi yang lebih mendalam, menjadikannya sangat dekat dengan pendengar khususnya mereka yang pernah merasai peritnya luka cinta.

Menurut Aepul Roza, idea awal lagu ini datang daripada Syamel yang mencipta melodi asas sekitar tujuh tahun lalu. “Rezeki kami tahun ini apabila akhirnya jumpa penyanyi yang benar-benar sesuai. Beberapa ubah suai dilakukan pada melodi dan lirik, dan hasil akhirnya sangat kami puas hati. Saya memang gemar menghasilkan lagu-lagu balada, dan kolaborasi dengan Syamel kali ini memberi pengalaman yang cukup istimewa,” kata Aepul.

Puteri Khareeza pula mengakui bahawa peluang merakamkan Lumrah Cinta merupakan salah satu pengalaman paling bermakna dalam kerjayanya. Walaupun berasa teruja, beliau turut gementar kerana perlu berhadapan dengan dua nama besar dalam industri yang cukup dikaguminya. Sepanjang sesi rakaman, Syamel dan Aepul banyak membantunya serta memberikan tunjuk ajar yang sangat berharga dalam menjayakan lagu tersebut.

Tambah Puteri, antara cabaran utama adalah menyampaikan penghayatan yang mendalam bagi setiap bait lagu, apatah lagi versi demo asalnya dirakam sendiri oleh Syamel. Walaupun begitu, beliau berjaya menyiapkan keseluruhan rakaman dalam masa dua jam sahaja satu pencapaian yang membuktikan kesungguhan dan kemampuan vokalnya.

Kini, Lumrah Cinta sudah tersedia untuk didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Lagu ini diyakini mampu menjadi lagu tema bagi mereka yang mencari pengubat luka dan masih percaya pada cinta. Untuk perkembangan terkini Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook (Alternate Records & Talents), Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).