Selepas mencipta kejayaan luar biasa menerusi tayangan pertamanya pada tahun 2022, filem seram spiritual terkenal dari Indonesia, Qodrat, kini bakal kembali dengan sekuel yang lebih mendebarkan dan emosional Qodrat 2.
Terdahulu, Qodrat bukan sahaja menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia, malah turut mencatat kutipan box office melebihi IDR60 bilion (USD5.3 juta). Filem ini juga mendapat sambutan hangat di beberapa negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar dan Vietnam. Di Malaysia sahaja, tayangan Qodrat yang dipasarkan oleh Astro Shaw berjaya mengutip lebih RM6 juta, sekali gus membuktikan minat penonton tempatan terhadap naskhah seram bercorak keagamaan dan aksi ini.
Rentetan daripada kejayaan tersebut, Astro Shaw kini mengumumkan akan sekali lagi bekerjasama dengan penerbit asal filem ini, MAGMA Entertainment, untuk membawa Qodrat 2 ke pawagam Malaysia. Usaha ini dimeterai menerusi satu perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung baru-baru ini di MIPCOM Cannes, Perancis, sebagai tanda komitmen dalam memperkukuhkan kandungan serantau dan pasaran filem Asia Tenggara.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Qodrat telah membuktikan bahawa filem dari rantau ini mampu memberi impak mendalam kepada penonton dengan naratif yang kuat dan dekat di hati.
Astro Shaw amat berbesar hati dapat meneruskan legasi Qodrat bersama MAGMA Entertainment. Berdasarkan sambutan hebat Qodrat di Malaysia, kami yakin Qodrat 2 berpotensi meraih kejayaan lebih besar dengan penceritaan yang lebih mendalam serta elemen seram dan emosi yang seimbang. Kami berharap filem ini akan memberi satu lagi pengalaman sinematik bermakna kepada penonton Malaysia.
Qodrat 2 akan menyelami sisi lebih gelap dan mendalam dalam perjalanan spiritual Ustaz Qodrat yang berdepan cabaran menyelamatkan isterinya, Azizah, yang telah menyerahkan jiwanya kepada iblis Asu’ala demi menyelamatkan anak mereka, Alif. Filem ini menyatukan elemen seram, aksi, agama dan emosi dalam sebuah penceritaan yang sarat nilai kemanusiaan dan pergolakan batin.

Filem ini masih lagi diarahkan oleh Charles Gozali, dan mengekalkan Vino G. Bastian sebagai teraju utama. Menariknya, Acha Septriasa akan tampil sebagai Azizah dalam kemunculan semula yang dinanti ramai, disertai barisan pelakon lain seperti Della Dartyan dan Dony Alamsyah.
Nantikan tayangan Qodrat 2 di pawagam Malaysia pada suku pertama tahun hadapan.
Ikuti segala perkembangan terkini filem ini di platform media sosial rasmi Astro Shaw.