LATEST

Raya Lebih Panas dengan Dapur Panas Digital: TV3 & Alternate Records Raikan Meriah!

Suasana penuh kemesraan dan kehangatan Aidilfitri menyerlah di Majlis Hari Raya Dapur Panas Digital, anjuran TV3 dan Alternate Records, yang berlangsung meriah di Balai Berita, Bangsar baru-baru ini. Diserikan dengan kehadiran barisan artis dan selebriti Media Prima, serta disokong padu oleh F&N sebagai penaja utama dan Pepper Labs sebagai rakan kolaborasi, majlis ini benar-benar menjadi pentas perpaduan, semangat keusahawanan dan sambutan Syawal yang berwarna-warni.

Majlis dimulakan dengan persembahan memikat dari barisan artis Alternate Records seperti Marygrace, Kai Deva, Mariam dan Zazzleen, sebelum diteruskan dengan persembahan penuh aura oleh Ameerais, Suara, Zizi Safira dan Wanie Ooi. Antara wajah popular Media Prima yang turut memeriahkan suasana termasuklah Mior Malek Raiyani, Fariha Onn, Fiza Sabjahan, Amirulhakim Lokman, Rena Hazrena dan ramai lagi, menjadikan pertemuan ini cukup istimewa dan penuh mesra.

Salah satu momen yang mencuri perhatian ramai ialah demonstrasi penyediaan teh tarik oleh usahawan Dapur Digital dari PPR Kerinchi, Puan Masri Binti Md Husin, yang menggunakan produk F&N. Aksi spontan dan kemahiran beliau menyuntik elemen interaktif yang menjadikan tetamu tidak hanya sekadar penonton, tetapi turut sama menyelami pengalaman para wanita inspirasi dari komuniti B40.

Majlis turut menampilkan sajian raya yang menggamit selera, disediakan khas oleh pasukan Dapur Digital Kerinchi. Menu seperti nasi tomato, mi kari, popia karbonara, puding karamel, agar-agar sirap, sirap bandung dan teh tarik — semuanya disediakan menggunakan produk F&N termasuk Krimer Manis dengan Kalsium dan Krimer Sejat Penuh Krim Ideal. Tidak ketinggalan, 100PLUS ACTIVE dan 100PLUS ZERO sebagai minuman rasmi turut menyegarkan suasana di tengah kemeriahan Syawal.

Lebih dari sekadar sambutan, majlis ini juga menjadi penutup rasmi kepada kempen Dapur Panas Digital, inisiatif kerjasama TV3 dan Pepper Labs yang mendapat dukungan kuat daripada F&N. Sepanjang Ramadan, program ini telah memberi peluang keemasan kepada para wanita PPR untuk berniaga di bazar terpilih sekitar ibu kota — termasuk Kg Baru, Bangsar Baru dan Wangsa Maju — sekaligus memperkasa semangat keusahawanan dan meningkatkan potensi diri.

Kehadiran selebriti popular seperti Fiza Sabjahan, Rena Hazrena, Fatin Hamimah dan Nurin Ramzyn di tapak bazar bukan sahaja menambah kemeriahan, malah menjadi pemangkin semangat buat para usahawan yang menyertai program ini. Setiap jualan bukan sekadar hidangan, tetapi satu langkah kecil ke arah masa depan yang lebih cerah.

Bagi yang terlepas mengikuti kisah-kisah inspirasi Dapur Panas Digital, anda masih boleh menonton kandungan menarik di platform digital rasmi TV3. Jangan lupa juga untuk saksikan segmen khas Dapur Panas Digital dalam Wanita Hari Ini (WHI) pada Isnin, 28 April 2025, untuk menelusuri lebih dekat lagi perjuangan wanita hebat dari komuniti PPR ini.

Syawal diraikan, semangat diperjuang – itulah jiwa Dapur Panas Digital.