Rezza Shah & Sophia Albarakbah Berdrama di Pentas CSOIAM

Minggu ketiga Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) sekali lagi tampil dengan persembahan yang mengagumkan serta momen-momen luar biasa yang menjadi perbualan hangat. Antara detik yang paling mencuri perhatian adalah kemunculan mengejut Sophia Albarakbah, pelakon popular dari drama Tonton: Marina, yang muncul bersama peserta Rezza Shah. Membawakan lagu ikonik Diari Seorang Lelaki, persembahan ini berjaya menggamit emosi penonton dengan elemen dramatik yang penuh kejutan.

Namun begitu, walaupun mencuri perhatian, Rezza Shah tidak bernasib baik apabila tersenarai sebagai salah seorang daripada empat peserta dengan undian terendah. Beliau menyertai Dayangku Iffah, Hafiz Zainal, dan Eylia Guntabid yang turut menghadapi cabaran untuk mengekalkan tempat mereka di pentas ini. Juri, Datuk Yusri, menyatakan bahawa keempat-empat peserta ini kurang memberikan impak dari segi penyampaian emosi dan dinamik persembahan mereka.

Minggu penuh emosi ini akhirnya menyaksikan penyingkiran dua peserta berbakat, Hafiz Zainal dan Dayangku Iffah. Kedua-duanya telah memberikan yang terbaik dalam persembahan mereka dan menerima komen positif daripada juri, namun saingan sengit daripada peserta lain menjadi faktor utama penyingkiran mereka.

Peserta Marygrace dinobatkan sebagai “Peserta Paling Fizz” minggu ini selepas memukau juri dan penonton dengan persembahan mantapnya menerusi lagu Memori Tercipta. Persembahannya yang penuh tenaga, vokal yang mantap, serta penghayatan emosi yang mendalam membawa tuah besar apabila Marygrace bakal berduet dengan legenda muzik, Datuk Ramli Sarip, pada minggu hadapan. Kolaborasi ini dijangka menjadi antara momen paling epik dalam musim ini.

Tidak ketinggalan, Zazzleen mencuri perhatian dengan membawakan lagu klasik Wajah Rahsia Hati nyanyian Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy). Persembahannya yang unik dan bertenaga menjadi lebih bermakna apabila beliau menerima mesej video kejutan daripada Kak Ogy sendiri. “Pesanan Kak Ogy benar-benar memberi inspirasi kepada saya, dan saya masukkan nasihat beliau dalam persembahan malam ini,” katanya penuh teruja.

Selain kejutan dan persembahan peserta, minggu ketiga juga menyaksikan persembahan pembukaan oleh kumpulan terkenal Ruffedge, duet memukau oleh Aina Abdul, serta persembahan penutup penuh emosi oleh Ernie Zakri. Dengan fenomena yang terus melanda, CSOIAM trending di platform ‘X’ selama tiga minggu berturut-turut!

Minggu hadapan, lapan peserta yang masih bersaing akan berentap dalam tema baharu, “Sinergi Muzik”. Tema ini dijangka membawa gabungan unik lagu-lagu yang menguji kreativiti dan keunikan setiap peserta. Adakah Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, dan Eylia Guntabid mampu menonjol dan mara ke peringkat seterusnya?

Saksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam, atau strim secara HD di Tonton. Jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah lumayan termasuk sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000.

Ikuti juga kisah eksklusif peserta melalui Fizz Journal, bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam. Kekal bersama kami di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk mencipta fenomena ini bersama-sama.