LATEST

Rika Riana Taruh Harapan Besar Dalam “Harus Begini Jadinya” – Sebuah Lagu Tentang Melepaskan Dengan Reda

Bukan mudah untuk menyalurkan rasa kehilangan dalam bentuk lagu, apatah lagi bila setiap bait lirik perlu dilantunkan dengan emosi yang jujur. Itulah cabaran utama yang dilalui oleh penyanyi berbakat besar, Rika Riana, dalam proses merakamkan single terbarunya, Harus Begini Jadinya.

Berusia 25 tahun dan berasal dari Keningau, Sabah, Rika mengakui lagu ini menyentuh satu sisi dirinya yang paling rapuh sebuah perasaan reda terhadap kehilangan yang tak dapat dihindari.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia menggambarkan bagaimana kita akhirnya perlu melepaskan sesuatu yang bukan milik kita, walau sekuat mana kita cuba mempertahankan,” kata Rika penuh penghayatan.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal, Ajai, ini membawa mesej universal tentang cinta dan kehilangan. Dengan kekuatan melodi dan lirik yang penuh makna, naskhah ini segera menarik minat Rika untuk menjadikannya lagu pilihannya.

Impian Bersama Ajai Jadi Kenyataan

Screenshot

Pernah menjadi peserta Mentor Milenia 2019, Rika mengakui bahawa berpeluang bekerjasama dengan Ajai adalah antara impian terbesarnya dalam dunia seni.

“Saya membesar dengan lagu-lagu ciptaan Abang Ajai. Akhirnya, dapat juga saya merasa pengalaman bekerja bersama beliau yang sangat profesional, teliti, dan tahu bagaimana menghidupkan emosi dalam lagu,” ujarnya.

Rika turut menyifatkan proses rakaman lagu ini sebagai ‘kelas seni penghayatan’ yang mengajarnya banyak perkara, terutama dari segi penyampaian emosi yang tulus dan tepat.

Visual MV Yang Sunyi Tapi Sarat Makna

Tidak hanya pada rakaman lagu, muzik video untuk Harus Begini Jadinya juga menuntut pengorbanan apabila sesi penggambaran terpaksa diubah akibat cuaca yang tidak menentu. Daripada lokasi luar, produksi terpaksa memilih ruang dalaman seperti bilik dan ruang tamu — namun bagi Rika, perubahan itu membawa keindahan tersendiri.

“Visual yang sunyi dan sederhana itu seiring dengan rasa kehilangan. Setiap babak dirakam untuk menunjukkan kekosongan yang perlahan-lahan diterima oleh hati,” jelasnya.

Harapan dan Permulaan Baharu di Tahun 2025

Dengan pelancaran rasmi lagu ini pada 18 April di semua platform digital, dan muzik videonya yang boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music, Rika menaruh harapan tinggi agar Harus Begini Jadinya menjadi pemangkin kepada lembaran baharu dalam karier seninya.

“Saya percaya lagu ini akan menyentuh ramai hati pendengar. Kalau ia memberi kekuatan buat sesiapa yang sedang melepaskan, maka karya ini sudah pun mencapai maknanya,” tutup Rika penuh harapan.

Lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.