Sabah Lokasi Terakhir Karnival Jom Heboh 2024, Penutup Penuh Kemeriahan!

Berita baik buat warga Borneo! Selepas hampir lima tahun, Karnival Jom Heboh (KJH) akhirnya kembali ke Sabah sebagai lokasi penutup siri jelajah 2024. Kali ini, karnival ikonik anjuran Media Prima Berhad menjanjikan pengalaman lebih istimewa dan penuh kemeriahan. Bertempat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Sabah, acara ini akan berlangsung selama tiga hari, bermula 27 hingga 29 Disember 2024 (Jumaat hingga Ahad). Pastikan anda hadir untuk merasai sendiri kehebatan acara ini!

Sebagai salah satu acara ikonik yang menjadi fenomena tahunan rakyat Malaysia, KJH terus menarik perhatian dengan kunjungan lebih 300,000 pengunjung di setiap lokasi. Diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’, KJH 2024 telah menjelajah ke enam lokasi utama iaitu Sarawak, Putrajaya, Melaka, Terengganu, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, sebelum tiba di Sabah sebagai penutup tirai.

Acara tiga hari di Sabah ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang pasti mencipta kenangan manis buat pengunjung. Reruai khas seperti Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Hot FM, serta New Straits Times Press akan menampilkan hadiah istimewa, termasuk cabutan bertuah Samsung Smart TV bernilai RM3,500. Selain itu, pengunjung berpeluang beramah mesra dengan barisan pelakon terkenal seperti Khai Bahar, Reen Rahim, Imran Aqil, Rita Nadira, Nelissa Nizam, Sophia Albarakbah, Sharifah Rose dan ramai lagi!

Buat pencinta e-sukan, kolaborasi eksklusif antara New Straits Times Press (NSTP) dan Todak bakal mengadakan kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), yang dijangka menjadi tarikan utama acara. Selain platform untuk menunjukkan bakat dan memenangi hadiah menarik, kejohanan ini juga bertujuan mengukuhkan relevansi e-sukan dalam kalangan generasi muda.

Pengunjung KJH Sabah juga boleh menikmati promosi hebat daripada lebih 120 reruai, termasuk jenama seperti Yaya Empire, F&N, Marigold, dan 4Fingers. Tidak ketinggalan, perkhidmatan percuma seperti semakan penyata oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut disediakan.

Kemeriahan KJH Sabah dilengkapkan dengan Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U Mobile, berlangsung pada 28 dan 29 Disember (Sabtu dan Ahad) bermula jam 9.00 malam. Konsert ini akan menampilkan persembahan luar biasa daripada bintang terkenal seperti Floor 88, Bella Astillah, Ara Johari, Wani Kayrie, Hael Husaini, Shila Amzah, Stacy, dan ramai lagi. Istimewanya, malam kedua konsert akan meraikan alumni One In A Million, menjadikan persembahan ini sebagai penutup terbaik untuk tahun 2024.

Tidak ketinggalan, program Jom Lokal Jam kembali memberi peluang kepada bakat tempatan untuk menyerlah. Acara ini akan berlangsung pada malam pertama karnival, menampilkan pelbagai persembahan seni daripada peserta berbakat.

Dalam kehangatan karnival, Media Prima turut menyeru pengunjung untuk menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. Anda boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Muamalat (1401 0008 8447 15) atau Maybank (5642 7651 0331). Usaha murni ini adalah sebahagian daripada komitmen Media Prima untuk membantu komuniti yang terjejas akibat krisis kemanusiaan.

Jadi, tunggu apa lagi? Jom meriahkan Karnival Jom Heboh Sabah! Pastikan anda hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memanfaatkan peluang keemasan ini. Gunakan tanda pagar #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh, dan #InspirasiGenerasi untuk berkongsi keseronokan di media sosial. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti laman sosial rasmi di @jomhebohofficial. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara tahunan paling meriah ini!