Sambutan luar biasa daripada peminat kumpulan legenda tanah air, KRU, sekali lagi membuktikan pengaruh dan cinta mereka terhadap trio ikonik ini. Dalam masa hanya 45 minit, tiket untuk hari kedua Konsert GENKRU telah habis dijual, menyusul kejayaan tiket hari pertama yang juga habis terjual dalam masa satu jam!
Iman Tang, pengasas ICON ENTERTAINMENT, meluahkan rasa terharu terhadap sambutan luar biasa ini. “Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa 1 jam manakala tiket hari kedua habis dalam durasi 45 minit. Ini semua merupakan tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat IKON trio negara kita. Saya mewakili ICON ENTERTAINMENT dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless,’” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut menambah bahawa kini menjadi tanggungjawab penuh pihak penganjur untuk memastikan semua peminat, atau dikenali sebagai GENKRU, yang telah mendapatkan tiket akan menikmati pengalaman konsert yang luar biasa. “Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapatkan kepuasan MAKSIMA pada dua-dua hari konsert itu kelak,” tambah Iman.
Pada mulanya, konsert ini hanya dijadualkan untuk berlangsung pada 3 Mei 2025, namun atas permintaan yang sangat tinggi, ICON ENTERTAINMENT mengumumkan penambahan hari kedua, yang akan diadakan pada 4 Mei 2025 di lokasi yang sama, iaitu Axiata Arena, Kuala Lumpur. Pengumuman ini telah mencetuskan keterujaan luar biasa di kalangan peminat, dengan tiket hari kedua mula dijual pada 23 Disember 2024, jam 3 petang, dan habis dalam masa kurang daripada sejam!
Perincian Konsert GENKRU
- Acara: Konsert GENKRU
- Lokasi: Axiata Arena, Kuala Lumpur
- Tarikh: 3 Mei 2025 & 4 Mei 2025
- Masa: 8.30 malam
- Penganjur: ICON ENTERTAINMENT
Konsert ini dijangka menjadi salah satu acara muzik paling epik tahun 2025, menampilkan persembahan ikonik daripada KRU yang pasti akan mengimbau nostalgia peminat sepanjang dekad-dekad karier mereka yang cemerlang.
Konsert GENKRU bukan sahaja meraikan kejayaan muzik KRU, tetapi juga menghargai sokongan dan dedikasi peminat setia mereka yang tidak pernah berkurang walaupun selepas bertahun-tahun. ICON ENTERTAINMENT memberi jaminan bahawa setiap elemen dalam konsert ini akan dirancang dengan teliti untuk memberikan pengalaman terbaik buat semua penonton.
Peminat disarankan untuk terus mengikuti platform rasmi ICON ENTERTAINMENT untuk sebarang pengumuman tambahan serta kemas kini terkini berkaitan konsert ini.
Tahniah kepada semua GENKRU yang berjaya mendapatkan tiket! Persiapkan diri untuk malam yang epik dan penuh kenangan pada Mei 2025!