Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yayasan MR D.I.Y., cabang amal Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad [MR D.I.Y.], terus berusaha menyemai nilai perpaduan dan kepedulian dalam kalangan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Raya Penuh Makna’, Yayasan MR D.I.Y. baru-baru ini mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak di Rumah Bakti Nur Syaheera, Kuala Lumpur.

Ketika program berlangsung, sukarelawan Yayasan MR D.I.Y. meluangkan masa berinteraksi dengan penghuni rumah kebajikan tersebut melalui pelbagai aktiviti, termasuk permainan dan menghias rumah bagi menyambut Aidilfitri. Bagi menceriakan lagi suasana, Yayasan MR D.I.Y. turut menyumbangkan kotak hadiah ‘Raya Penuh Makna’ yang mengandungi barangan keperluan harian, hiasan Hari Raya, serta baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM3,000. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif [CEO] Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, mereka percaya bahawa setiap perayaan perlu membawa makna yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat. Melalui inisiatif ‘Raya Penuh Makna’, Yayasan MR D.I.Y. berusaha menyokong komuniti setempat serta menggalakkan amalan kebaikan. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat tetapi juga memastikan semua orang dapat merasai kegembiraan Aidilfitri.
Selain kunjungan tersebut, Yayasan MR D.I.Y. turut mengedarkan kotak hadiah ‘Raya Penuh Makna’ berisi barangan keperluan kepada 13 rumah kebajikan lain di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyebarkan semangat berkongsi rezeki, Yayasan MR D.I.Y. juga mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna pengangkutan awam. Sebanyak 400 pek bubur lambuk diedarkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), manakala 100 pek lagi diagihkan kepada orang ramai di stesen Semantan dan Kota Damansara. Penyediaan bubur lambuk di TBS dijayakan dengan bantuan sukarelawan Yayasan MR D.I.Y. serta jawatankuasa Masjid Taman Bukit Belimbing, mencerminkan semangat kebersamaan dan sikap saling membantu.
“Kami amat berterima kasih kepada rumah kebajikan serta organisasi yang menerima kunjungan kami dan berkongsi detik istimewa ini. Kami juga menghargai usaha para sukarelawan yang telah bekerja keras bagi menjayakan inisiatif ‘Raya Penuh Makna’. Semoga program ini membawa kegembiraan kepada semua yang menyambut Aidilfitri,” tambah Zaleha.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif Yayasan MR D.I.Y. sepanjang musim perayaan ini, layari laman web mrdiy.com, mrdiy.com.my atau ikuti mereka di Facebook, Instagram, dan TikTok.