Stacy Rasmi Umum Konsert Solo Mega Di Sabah, Gegarkan SICC Jun Ini
Stacy akhirnya mengesahkan penganjuran konsert solo mega pertamanya di tanah kelahiran sendiri menerusi sebuah sidang media eksklusif yang berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC). Majlis yang bermula jam 3 petang itu menyaksikan kehadiran wakil media, tetamu kenamaan dan rakan artis yang turut diberi peluang beramah mesra sebelum Stacy muncul mengejut dalam persalinan serba putih.
Sebagai pembuka tirai kepada pengumuman besar itu, Stacy tampil dengan persembahan akustik penuh emosi membawakan tiga lagu kegemaran ramai “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat”. Persembahan yang berlangsung di kawasan luar SICC dengan panorama laut dan langit senja mencipta suasana magikal yang cukup peribadi buat semua yang hadir.
Menurut Stacy, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” bukan sekadar persembahan biasa. Sebaliknya, ia merupakan simbol cintanya terhadap Sabah, serta dedikasi terhadap seni persembahan yang telah mengiringi kariernya sejak lebih sedekad. Menyifatkan konsert ini sebagai “paling jujur dan penuh warna,” Stacy berkata dia sendiri terlibat secara langsung dalam setiap elemen termasuk koreografi, susunan muzik dan produksi pentas. “Saya mahu jadikan konsert ini satu pengalaman yang hidup, bertenaga dan takkan dilupakan. Penari dari Semenanjung dan Sabah akan bergabung dalam persembahan ini. Ada kejutan-kejutan khas yang saya yakin akan buat SICC bergema!” ujarnya dengan penuh semangat.
Antara segmen yang paling dinanti ialah kemunculan Akim Ahmad, suami Stacy, dalam persembahan duet yang dijangka menyentuh hati para peminat. Pasangan ini yang sinonim dengan persembahan romantik dijangka menghadirkan momen manis penuh emosi di atas pentas. Akim turut menyatakan rasa syukurnya kerana cuaca menyebelahi acara hari ini. “Syukur, walaupun sebelum ini hujan hampir setiap hari, namun hari ini Allah izinkan cuaca yang cukup baik. Terima kasih semua yang mendoakan,” katanya sambil tersenyum.

Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment serta dibawakan oleh U Mobile, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” bakal berlangsung pada 21 Jun 2025, jam 8 malam bertempat di SICC, Kota Kinabalu. Ini merupakan konsert solo pertama Stacy berskala mega yang diadakan di negeri asalnya. Dengan sentuhan peribadi dan penglibatan penuh Stacy dalam produksi, konsert ini dijangka menjadi antara persembahan paling autentik sepanjang kariernya. “Saya sangat berterima kasih kepada U Mobile yang merealisasikan impian ini. Dengan sokongan mereka, saya dapat menterjemah visi saya ke dalam satu produksi pentas yang cukup besar dan bermakna,” jelas Stacy.
Konsert ini juga bakal membawa peminat mengimbas kembali detik-detik penting dalam perjalanan muzik Stacy sejak zaman “Aku Stacy” sehingga “Menyala”. Penonton akan dihidangkan dengan susunan lagu baharu, koreografi yang diperbaharui dan visual pentas yang berkelas dunia. “Setiap lagu ada kisah tersendiri. Saya mahu setiap orang yang datang rasa puas dan terinspirasi,” tambahnya lagi.
Tiket telah mula dijual sejak 10 April melalui www.ticket2u.com dengan pilihan kategori berikut. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U”, peminat disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Stacy serta U Mobile bagi mendapatkan konten eksklusif dan sorotan belakang tabir yang menarik.