Penyanyi legenda Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, baru-baru ini melancarkan single terbarunya yang berjudul “Sejarah” di sebuah majlis yang diadakan di restoran The Roomah, Solaris Dutamas. Lagu ini membawa makna yang mendalam dalam perjalanan karier seni Siti Nurhaliza yang hampir memasuki usia 30 tahun dalam industri muzik.
“Sejarah” adalah hasil kolaborasi dengan komposer terkenal, Erwin Gutawa, bersama anak perempuannya, Gita Gutawa, yang bertanggungjawab sebagai penulis lirik. Erwin menyatakan bahawa lagu ini dicipta khas untuk Siti Nurhaliza dengan menggambarkan keindahan vokalnya serta keperibadian yang dimilikinya. Untuk melengkapkan karya ini, Erwin turut bekerjasama dengan Czech Symphony Orchestra untuk memberikan sentuhan muzik yang lebih mendalam dan elegan.
Menurut Siti, lagu “Sejarah” adalah sangat istimewa kerana ia merupakan sebuah karya yang menceritakan perjalanan seni beliau. “Saya sangat terharu dengan lagu ini, ia seolah-olah menggambarkan setiap fasa dalam perjalanan kerjaya saya. Setiap bait lirik membawa kembali memori indah dan penuh emosi,” kata Siti. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Erwin Gutawa atas kesudian beliau mencipta lagu yang begitu menyentuh jiwa. Proses rakaman vokal lagu ini turut dibantu oleh Aubrey Suwito di Kuala Lumpur.
Single “Sejarah” ini diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd dan telah mula dilancarkan pada 14 November 2024. Lagu ini boleh didapati di semua platform penstriman digital.
Dalam majlis pelancaran tersebut, Siti Nurhaliza turut mengambil kesempatan untuk menghargai pihak media yang sentiasa menyokong kariernya. Beliau menganggap media sebagai sahabat dan keluarga yang telah banyak membantu memperkenalkan beliau kepada masyarakat dan peminat. Sebagai tanda penghargaan, Siti mengadakan sesi cabutan bertuah dan memberi cenderahati kepada semua yang hadir.
Majlis itu juga menyaksikan penyampaian plak penghargaan daripada Universal Music kepada Siti sebagai pengiktirafan atas gelaran Biduanita Negara dan pelancaran single “Sejarah”. Ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni beliau yang tidak pernah pudar.