Sejak melangkah ke pentas muzik Malaysia, Stacy Anam, bintang kelahiran Sabah, telah berjaya memikat hati pencinta muzik tanah air. Kehebatan Stacy bukan sahaja terletak pada vokalnya yang mantap tetapi juga keupayaannya menari dengan lincah, menjadikan persembahannya sentiasa memukau.
Dikenali dengan lagu-lagu rancak bertempo laju, Stacy telah mencipta nama sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008. Kini, Stacy tidak hanya aktif dalam bidang nyanyian, tetapi juga telah mengukir kejayaan sebagai penulis dan pencipta lagu bersama suaminya, Akim Ahmad.
Menurut Stacy, proses penciptaan lagu “Menyala” bermula daripada sebuah siulan melodi yang mempunyai dua emosi berbeza. “Melodi pada awalnya lembut sebelum beralih kepada unsur rock yang lebih bertenaga. Liriknya pula dihasilkan daripada feel melodi tersebut dan dirangkum dalam satu cerita,” jelas Stacy.
Karya ini adalah hasil gabungan kreatif Bunga Cantik dan Hang Nadim, yang tidak mengambil masa lama untuk menyempurnakannya. Menurut Stacy, kedua-dua penulis lirik ini memahami tujuan dan mesej lagu, menjadikannya mudah untuk menghasilkan lirik yang berinspirasikan keazaman dan imaginasi persembahan secara langsung.
“Liriknya menggambarkan keseimbangan dalam hidup, sama ada melalui susunan muzik santai atau keras, semuanya membawa ketenangan,” tambah Stacy.
Melodi dan lirik “Menyala” dihidupkan melalui gabungan elemen reggaeton, rock, dan sentuhan dramatik berinspirasikan pengaruh Nusantara. Liriknya pula mengingatkan pendengar agar sentiasa berpada-pada dalam apa jua tindakan.
“Sebagai penyanyi, saya sentiasa mencari keseimbangan ketika membuat persembahan. Fokus dan ketenangan adalah kunci, sama ada di atas pentas atau dalam kehidupan seharian,” kata Stacy.
Stacy berharap “Menyala” mendapat sambutan positif daripada peminat dan pendengar. “Lagu ini berbeza daripada lagu-lagu saya yang sebelum ini, tetapi masih mengekalkan identiti muzik saya. Semoga ia dapat mewarnai industri muzik tempatan,” ujar Stacy.
Kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records, dan Rhythm & Rhyme Entertainment ini sudah boleh dinikmati di semua platform digital sejak 8 November 2024, manakala muzik video rasmi “Menyala” dilancarkan pada 5 Disember 2024 jam 8.00 malam.
INFORMASI
Tajuk Lagu: Menyala
Komposer: Bunga Cantik
Producer: Bunga Cantik
Penulis Lirik: Bunga Cantik & Hang Nadim
Penerbit: Rhythm and Rhyme Entertainment