Sebuah konsert yang gemilang telah berjaya memukau dan mengimbau hati para peminat kembali ke zaman nostalgia yang sudah lama tidak dapat mereka nikmati. Peminat Sweet Charity yang telah menghadiri konsert hebat di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu itu terpegun dan teruja.
Band terkenal Sweet Charity kembali ke ibu kota untuk mengimbau kenangan selepas konsert terakhir mereka 13 tahun lalu, setelah lima dekad berkhidmat dalam industri muzik rantau ini.
Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang berdurasi hampir tiga jam itu yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari yang lalu.
Iaitu, di tahun ke-55 penubuhan Sweet Charity yang diterajui Datuk Ramli Sarip sebagai vokalis yang juga pengasasnya bersama Rahman Sarbani (dram), dan turut dianggotai Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).
Ramli berkata, lamaran untuk Sweet Charity kembali ke Kuala Lumpur ibarat pucuk dicita ulam mendatang.
“Konsert ini ada nilai sentimental kerana ia diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada 2011 yang menjadi fenomena. Sesuatu seperti ini kadang hanya datang sekali, atau dua kali, ia tidak boleh selalu melainkan ada momen istimewa.
“Sweet Charity dikenali dengan persembahan livenya, jadi pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baharu, termasuk antara 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.
“Dan kenapa Semalam di Malaya? Judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ”. – katanya
Justeru, para peminat tegar mereka juga dihiburkan serta disajikan dengan nyanyian yang penuh penghayatan oleh Ramli Sarip yang berjaya mempersembahkan sebanyak 22 buah lagu yang senantiasa berlegar di telinga setiap daripada peminat mereka, antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah, Hilang Gelap Terbitlah Terang, Tahun 2000, Pelarian, Sejuta Wajah, Dekatlah Padaku, Datang & Pergi, Kawan Menangis Kawan Ketawa, Dunia Perlumbaan, Hidup, Musibah, Bagaikan Mimpi, Terharu, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama, Jalan Malam, Semalam Di Malaya, Apa Khabar Sayang, Batu, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Ribut 10:59 pagi, Kamelia dan Teratai.
Biar pun tidak kembali ke stadium, menurut Ramli, Zepp Kuala Lumpur dengan kapasiti 2,500 orang itu berupaya memenuhi jangkaan persembahan kerana lokasi itu ada formula untuk mendukung sesebuah konsert, daripada suasana ke akustiknya, malah chemistry.
“Penganjur ini, saya lihat, mahu buat sesuatu yang mereka lalui, ketika mereka membesar, namun memberi kebebasan untuk kami mengekspresikan seni. Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity ini sememangnya tidak harus dilepaskan peminat.
“Kerana Sweet Charity, persembahannya ada roh dan semangat yang tersendiri, seperti mana-mana band apabila sampai pada kedewasaannya. Mudah-mudahan persembahan kami lebih dewasa dengan perasaaan,” tambahnya.
Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan tiket.
Kuala Lumpur, kata Ramli, beliau berjaya menyajikan kelainan rasa dalam persembahan Sweet Charity yang sebelum ini, tampil dengan dua konsert berskala besar, masing-masing di Johor Bahru dan Singapura, tahun ini.
“Sama tapi tak sama,” kata Ramli, merujuk perbandingan dengan konsert di Singapura, baru ini. “Persembahan di Kuala Lumpur akan lebih padat, malah ada peminat yang sudah menonton di Singapura, mahu ke Kuala Lumpur juga.
“Gaya persembahan, tentunya akan memberikan kelainan kerana Sweet Charity ada aura tersendiri, kekuatan tersendiri. Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan livenya dan itulah yang menjadi kekuatan kami selama lebih 50 tahun ini.
“Sweet Charity tidak begitu dipengaruhi oleh apa-apa kerana pada masa itu, pada era akhir 60an, tiada video, VHS pun tiada. Jadi kami mencipta identiti sendiri, membawa muzik rock, memberikan apa yang kami rasa, perasaan waktu membuat persembahan itu.” – katanya