Trio popular Indonesia, TBA, bakal menggegarkan Malaysia buat kali pertama dengan persembahan konsert sulung mereka pada November ini. Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 November 2024, kehadiran TBA pastinya dinantikan oleh peminat di Malaysia yang telah mengikuti perkembangan kumpulan ini sejak mereka dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR.
Konsert ini turut disokong oleh Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), manakala Emina Cosmetic Malaysia bertindak sebagai penaja utama. TBA, yang kini dianggotai oleh Teuku Ryzki, Bastian Steel, dan Alvaro Maldini, dibawakan khas oleh penganjur Ikarl Project dari Malaysia dengan kerjasama Evb Group dari Singapura.
Trio ini mula meniti populariti dengan genre pop dan persembahan bertenaga semasa dikenali sebagai Coboy Junior, bersama anggotanya Ryzki, Iqbaal, Bastian, dan Aldi. Lagu-lagu hit mereka seperti Kamu (2011), Eeaaa (2012), dan Kenapa Mengapa (2012) berjaya mencuri hati peminat di seluruh rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
TBA kini dikenali menerusi lagu hit U-Uh, dan mereka dijangka mempersembahkan lagu ini bersama koleksi lagu-lagu popular mereka semasa konsert. Penganjur menyatakan keyakinan penuh terhadap persembahan yang akan dipersembahkan oleh TBA. “Kami sangat teliti dalam pemilihan artis untuk dibawa ke Malaysia. TBA adalah pilihan tepat kerana kualiti persembahan mereka yang mantap dan bertenaga,” kata penganjur.
Menurut mereka, peminat boleh menjangkakan satu malam yang penuh dengan hiburan luar biasa. “TBA akan mempersembahkan bukan sahaja lagu-lagu hit mereka tetapi juga beberapa lagu baru yang belum pernah didendangkan sebelum ini. Kami yakin persembahan ini akan memukau penonton dan memberikan pengalaman yang tidak boleh dilepaskan.”
Hari ini, penganjur turut menerbangkan khas Teuku Ryzki dari Indonesia untuk sesi ramah mesra bersama media Malaysia, memberikan peluang kepada peminat dan wartawan untuk mengenali lebih dekat salah seorang anggota kumpulan TBA.
Selain TBA, peminat juga akan dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan UN1TY dan artis tempatan Syaffiq Sahli, yang kini menggantikan Amir Hariz.
Pada awalnya, penganjur telah memilih Amir Hariz untuk tampil dalam konsert tersebut, dan poster konsert juga telah diedarkan. Bagaimanapun, akibat tindakan kontroversi Amir Hariz yang memuat naik video membuang kucing di TikTok, beliau menerima kecaman hebat daripada peminat dan Persatuan Pencinta Kucing. Kesan daripada kontroversi ini turut memberi tempias kepada TBA, apabila mereka dikritik kerana dikaitkan dengan Amir Hariz.
Susulan insiden ini, penganjur memutuskan untuk menggugurkan Amir Hariz dari senarai artis yang akan membuat persembahan dan menggantikannya dengan Syaffiq Sahli. Penganjur berharap perubahan ini dapat memulihkan semangat peminat dan menjanjikan malam yang menghiburkan tanpa sebarang kontroversi.
Konsert sulung TBA di Malaysia dijangka menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat setia mereka di sini. Dengan barisan persembahan yang dinamik dan bertenaga, konsert ini pasti akan menjadi malam yang tidak dilupakan bagi penggemar muzik pop Indonesia di Malaysia.
Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton Konsert TBa didapati
di http://evb.ubertickets.asia.