Wani Kayrie, anak jati Sandakan, Sabah, yang memiliki wajah cantik, banyak bakat, dan pintar akademik, kembali memeriahkan tahun 2023 dengan single terbarunya, “FAJAR,” yang ditulis oleh beberapa komposer terkenal Amerika, termasuk Shazee Ishak, Audi Mok, dan Tysha Tiar, dan dikeluarkan oleh syarikat hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment.
Kali terakhir Wani muncul dengan single terbaharu adalah kira-kira setahun yang lalu melalui lagu ‘Kamu Kamu’, katanya, “Jadual belajar saya pada ketika itu agak padat kerana semesternya panjang, selain itu pada masa yang sama saya juga banyak menerima tawaran untuk berlakon drama.
“Dan yang terkini, saya baharu sahaja tamat dengan penglibatan dalam sebuah program televisyen realiti ‘Famili Duo’ bersama Bella Astillah di mana kami berjaya meraih tempat ke-3, syukur Alhamdulillah rancangan tersebut telah membuka mata ramai orang di luar sana yang dapat melihat kebolehan saya dalam menyanyikan pelbagai lagu dengan genre yang berbeza.
“Banyak yang saya pelajari melalui program tersebut terutamanya dari segi kemahiran vokal, idea untuk konsep sesebuah persembahan dan pembaharuan gubahan lagu asal ke genre yang berbeza dalam masa yang singkat.
Ingin lari dari kebiasaan, Wani mahu mencabar kemampuan dirinya sebagai penyanyi dengan mencuba sesuatu yang baharu, terangnya “Idea di sebalik genre untuk single ketiga ini datangnya dari saya sendiri kerana mahukan kelainan yang lebih kepada menonjolkan kemampuan vokal.
“Lagu FAJAR menceritakan tentang ‘cahaya’ yang membawa maksud sebuah pengharapan buat setiap insan untuk terus melangkah dalam hidup meskipun menerima banyak ujian dan dugaan. Saya percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup ada hikmahnya, dan ‘cahaya’ itulah yang menjadi sumber kekuatan setiap insan dalam mencari hala tuju hidup yang sebenar tanpa menoleh kebelakang serta tidak mengulangi kesilapan masa lalu yang menjadi sejarah hitam.
Karya istimewa dalam nuansa balada ini jelas kedengaran moden dengan elemen muzik elektronik yang menambah keunikan penciptaannya sesuai dengan halwa telinga pendengar masa kini yang mahukan sesuatu yang segar dan baharu.
“Proses rakaman hanya memakan masa selama sehari sahaja, senang bekerja dengan abang Audi Mok kerana beliau pernah menulis lagu untuk saya sewaktu berumur 17 tahun berjudul ‘Aku Suka Kamu’.
“Abang Audi juga tahu akan kebolehan vokal saya, dan mudah untuk kami mengembangkan idea semasa rakaman lagu FAJAR ini, banyak juga yang saya pelajari bersama komposer lain, abang Shazee Ishak antaranya memberi idea untuk penambahan ‘ad-lib’, penambahbaikan lagu dan selalu berpesan untuk menyanyi dengan ‘hati yang ikhlas’ kerana baharulah mesej yang cuba disampaikan lebih terkesan, dan tidak bergantung hanya pada nyanyian teknikal sahaja,” tambah Wani lagi.
Sebagaimana lazimnya, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dengan jalan cerita yang unik, jelas Wani, “Ibarat mengimbau masa silam, 3 kisah yang berbeza dengan individu yang berbeza sedang bergelut dengan masalah yang dihadapi namun perlu membuat pilihan sama ada ingin terus menyalahkan diri sendiri atas kekhilafan atau pasrah menerima setiap takdir yang tertulis dengan redha.
Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Feros Sayna berkata: “Wani merupakan artis muda negara yang sentiasa bekerja keras dalam memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang diceburinya, semangat yang dimilikinya wajar dijadikan contoh oleh anak-anak muda di luar sana untuk berjaya dalam hidup. Semoga lagu FAJAR nyanyian Wani dapat melonjakan lagi namanya dan terus mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
Wani yang kini dalam persediaan menjalani latihan praktikal atau ‘internship’ selama 6 bulan bagi menyempurnakan semester akhir jurusan Undang-Undang dan Perdagangan di universiti berkata, “Saya berharap agar setiap pendengar dapat menerima lagu ini dengan hati yang terbuka dan selamilah setiap bait-bait liriknya yang membawa ‘seribu satu’ makna dalam kehidupan kita semua kerana ada pengajarannya di situ.
Lagu ‘FAJAR’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.