LATEST

Tiket Konsert GENKRU Habis Dijual Dalam Tempoh Rekod!

Icon Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat setia KRU atas sokongan padu yang telah menjadikan tiket untuk konsert GENKRU habis dijual dalam tempoh hanya tiga jam! Fenomena luar biasa ini membuktikan betapa besar pengaruh dan populariti KRU sebagai ikon muzik tanah air. Tiket yang mula dijual pada pukul 11 pagi pada 20 Disember 2024 telah pun sold out tepat pada pukul 12 tengah hari.

Iman Tang, pengasas Icon Entertainment, turut meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat ini. Beliau berkata, “Kami amat terharu dengan sambutan ini. Fenomena ini sudah dijangka memandangkan populariti dan profil KRU yang sudah sekian lama menjadi salah satu ikon negara kita. Kami membuka penjualan tiket pada pukul 11 pagi tadi, dan kini tiket sudah habis dijual. Kami berasa sangat bersyukur dan terharu kerana lebih 10 ribu pembeli tiket sudah bersedia untuk ‘battle’ seawal 8.30 pagi. Ini adalah penghargaan terbesar daripada peminat untuk artis tanah air kita.”

KRU, kumpulan legenda yang telah menempuh pelbagai kejayaan dalam industri muzik tempatan, pastinya akan menjanjikan persembahan yang penuh dengan kenangan manis dan hits-hits legendarinya dalam konsert GENKRU. Berlokasi di Axiata Arena, Kuala Lumpur, konsert ini dijadualkan berlangsung pada 3 Mei 2025, bermula jam 8.30 malam.

Bersempena dengan sambutan luar biasa ini, Icon Entertainment mengumumkan bahawa konsert hari kedua akan diumumkan dalam masa terdekat. “Atas permintaan ramai, kami akan mengumumkan tarikh dan tiket untuk konsert hari kedua dalam masa yang sangat hampir. Teruskan mengikuti kami untuk maklumat lanjut!” ujar Iman Tang.

INFORMASI ACARA:

  • Acara: Konsert GENKRU
  • Lokasi: Axiata Arena, Kuala Lumpur
  • Tarikh: 3 Mei 2025
  • Masa: 8.30 Malam
  • Penganjur: Icon Entertainment
  • Harga Tiket:
    • OOH!LA!LA (RM 258)
    • AWAS (RM 358)
    • MENGERTI (RM 478)
    • TERHANGAT DI PASARAN (RM 508)
    • APASAJA (RM 548)
    • FANATIK (RM 588)

Tiket untuk konsert ini telah mula dijual sejak 20 Disember 2024, dan bagi yang terlepas, anda boleh terus melayari ticket2u.com.my/kru untuk pembelian tiket bagi konsert yang akan datang.

Konsert GENKRU dijangka akan menjadi sebuah acara yang penuh dengan persembahan yang mengujakan, mengimbau nostalgia dan membawa peminat melalui perjalanan muzik yang penuh bersejarah bersama kumpulan yang telah banyak meninggalkan kesan dalam industri muzik Malaysia.

Dengan sold-out yang luar biasa ini, peminat KRU pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert penuh bersejarah ini. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini melalui saluran sosial rasmi Icon Entertainment untuk maklumat lanjut mengenai tiket hari kedua yang bakal diumumkan kelak.