Tomok dan Siti Nordiana Bersatu Dalam Konsert Memori Mungkin Berulang!

Konsert Memori Mungkin Berulang akan mempersembahkan dua bintang popular tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, yang akan bersama-sama di atas pentas untuk menyanyikan lagu-lagu hit mereka yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama lebih 20 tahun. Acara ini bakal berlangsung pada 1 Februari 2025, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.

Tomok, yang juga merupakan penganjur konsert ini melalui syarikat rakamannya, POPSICLE RECORDS, meluahkan rasa teruja kerana ini adalah kali pertama beliau berganding bahu dengan Siti Nordiana dalam sebuah konsert. Mereka berdua, yang sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah pada era 90-an, bersepakat untuk menggamit kenangan manis zaman awal kerjaya nyanyian mereka.

Tomok berkongsi bahawa konsert ini akan dipenuhi dengan kejutan dan pelbagai persembahan menarik, terutamanya dengan lagu-lagu hits mereka yang popular. “Sepanjang perjalanan kerjaya kami, ini adalah pertama kali kami berkolaborasi atas permintaan penyokong dan peminat kami. Konsert ini akan mengimbau kenangan, terutamanya lagu-lagu ikonik seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih. Saya juga akan menyanyikan lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik sebagai penghormatan. Saya yakin peminat kami pasti menantikan persembahan yang akan kami bawakan,” ujar Tomok penuh semangat.

Tomok dan Siti Nordiana

Siti Nordiana, atau lebih mesra dipanggil Nana, turut berkongsi kegembiraan apabila menerima pelawaan Tomok untuk bersama-sama menjayakan konsert ini. Menurut Nana, ini adalah satu peluang yang sangat berharga kerana ia adalah hadiah istimewa buat peminat yang terus setia menyokong mereka sejak awal 2000-an. “Lagu Memori Mungkin Berulang sangat dekat di hati saya dan Tomok, dan kami tidak sangka ia diterima dengan begitu baik oleh peminat, terutamanya generasi muda. Saya amat bersyukur kerana lagu ini membawa satu fenomena baru dalam industri muzik,” kata Nana dengan penuh teruja.

Konsert ini bukan sahaja akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka, tetapi juga memberi peluang kepada peminat untuk merasai semula nostalgia zaman kegemilangan mereka. Tiket untuk konsert Memori Mungkin Berulang telah mula dijual sejak 28 Oktober 2024 dengan harga yang berpatutan iaitu RM98, RM198, RM298, RM398, RM498, dan VIP BOX berharga RM5000. Tiket boleh dibeli melalui platform dalam talian Ticket2u, yang telah dilantik sebagai agensi penjualan rasmi. Sehingga kini, hampir 50% tiket telah terjual dan dijangka tiket akan habis dalam masa sebulan lagi.

Selain itu, Tomok mengajak mana-mana syarikat yang berminat untuk bekerjasama atau menaja konsert ini agar sama-sama menjayakan acara yang penuh bersejarah ini. “Dengan penganjuran konsert ini di bawah POPSICLE RECORDS, saya amat mengalu-alukan peluang kolaborasi dengan syarikat-syarikat yang mahu bersama-sama menjayakan konsert ini. Kami ingin memberikan persembahan yang terbaik dan memastikan peminat Tomok serta Siti Nordiana dapat mengubat kerinduan mereka dengan lagu-lagu klasik dan yang terkini,” kata Tomok lagi.

Dengan penganjuran konsert ini, diharapkan ia dapat memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para peminat dan terus memeriahkan industri muzik Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara Tomok, Siti Nordiana, dan penyokong setia mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *