Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dengan bangganya mengumumkan kembali acara sukan yang penuh cabaran dan kegembiraan – Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24). Memasuki edisi ke-22, acara ini dijangka menjadi lebih besar dan lebih mencabar dengan rekod baru yang bakal tercipta, di mana peserta akan mendaki 1,608 anak tangga dengan ketinggian 292 meter, menuju ke Pelantar Pemandangan Tertutup (Observation Deck).
Bertemakan “Mencabar Diri, Mencipta Rekod,” Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) tahun ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM80,000 dan menarik penyertaan peserta tempatan serta antarabangsa yang ingin menguji ketahanan fizikal mereka di samping menikmati pemandangan menakjubkan dari puncak Menara KL. Dengan penyertaan yang diharapkan lebih tinggi dari sebelumnya, KLTITC24 akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai acara sukan bertaraf antarabangsa.
Acara yang memfokuskan pada larian anak tangga ini, sekali lagi, Turkish Airlines muncul sebagai penaja utama untuk tahun ketiga berturut-turut. Sebagai jenama penerbangan global yang terkenal, Turkish Airlines memainkan peranan penting dalam mempromosikan acara ini di peringkat antarabangsa. Menurut Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., “Kami teruja untuk meraikan ulang tahun ke-28 Menara KL dengan acara yang lebih bermakna ini. Kami juga berharap acara ini akan terus menarik perhatian bukan hanya dari peserta tempatan, tetapi juga dari seluruh dunia.”
Selain mencipta rekod baharu, peserta tahun ini berpeluang menikmati pemandangan yang lebih spektakular daripada Observation Deck Menara KL, memberikan pengalaman luar biasa kepada semua yang menyertai.
Lebih 100 peserta terbaik dari enam kategori akan menerima hadiah istimewa, termasuk T-shirt FINISHER yang eksklusif. Semua peserta juga akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada rakan penaja acara seperti O’Briens Irish Sandwich Cafe, 100Plus, PRIME Sports Malaysia, Nestle Milo, dan banyak lagi.
Peserta yang ingin menyertai KLTITC24 boleh melayari portal rasmi untuk pendaftaran, dengan yuran penyertaan bermula dari RM90 untuk kategori tempatan dan RM120 untuk kategori antarabangsa. Yuran ini berbeza mengikut tempoh pendaftaran, dengan early bird pada harga lebih rendah, sehingga 21 November 2024.
Selain menjadi acara sukan yang mencabar, KLTITC24 juga berperanan dalam mempromosikan gaya hidup aktif dan memperkukuh profil pelancongan Malaysia. Melalui kerjasama strategik dengan Turkish Airlines, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berharap dapat memperkenalkan destinasi pelancongan utama ini di peringkat global dan menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan aktiviti sukan ekstrem dan pelancongan bertaraf dunia.
Jadi, bagi anda yang ingin mencabar diri, menikmati keindahan pemandangan Kuala Lumpur, dan meraih pengalaman unik, jangan lepaskan peluang untuk menyertai Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024. Mari berlari ke puncak dan buat sejarah bersama!
Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan acara di Menara Kuala Lumpur, sila hubungi talian khidmat pelangan di +603-2020 5421 atau layari media sosial rasmi kami @menaraki di Facebook, Instagram, dan TikTok, dan laman sesawang http://kltower.com.my manakala bagi maklumat lanjut mengenai acara dan pendaftaran, sila lawati https://v2.checkpointspot.asia/event/KL-Tower-Run-24