TV3 Perkenalkan Azan Versi Baharu, Dilengkapi Teknologi AI

TV3, yang telah lama menjadi panduan harian umat Islam melalui seruan azan, kini memperkenalkan versi baharu yang lebih segar dan inovatif. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta pengalaman yang lebih mendalam. Azan versi baharu ini, yang dibawakan oleh Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki dengan suara yang syahdu dan merdu, dijangka membuat kemunculan sulungnya pada 15 Januari 2025.

Pelancaran ini disusuli dengan program baharu yang ditayangkan di TV3, TV9, dan Tonton, berjudul Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman. Program ini merupakan siri istimewa 4 episod yang dirancang untuk memberi inspirasi dan pengisian rohani kepada penonton. Dalam setiap siri, tokoh agama terkemuka bersama tetamu jemputan akan berkongsi hikmah, pandangan, dan pengalaman mereka mengenai pelbagai topik yang relevan. Siri ini juga boleh disaksikan secara langsung di platform TikTok TV3.

Siri pertama yang berlangsung pada 15 Januari 2025, bertempat di Menara Kuala Lumpur, mengangkat tema Azan sebagai fokus utama. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Encik Ruzmi Kamarudin, Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Aemizureen Kamarudin, Chief Business Development Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., dan Ustaz Khairul Anuar Basri sebagai panelis jemputan.

Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dan Hj. Ahmad Noor Sulaiman, membawa perbincangan yang mendalam mengenai nilai dan penghayatan azan dalam kehidupan umat Islam. Panelis jemputan, termasuk Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar Basri, turut berkongsi pandangan mereka mengenai topik ini. Acara ini juga diserikan dengan persembahan istimewa daripada Child From The East, menambah kemeriahan dan keceriaan dalam setiap detik perjalanan siri pertama ini.

Menurut Encik Ruzmi Kamaruddin, Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Azan adalah lambang perpaduan dan penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia. Pembaharuan ini bertujuan untuk memberi sentuhan baru dari segi visual dan audio, sambil tetap menghormati tradisi suci yang tidak pernah pudar. Azan baharu ini diharap dapat memberi pengalaman yang lebih bermakna dan memperluaskan mesej keagamaan melalui televisyen dan platform digital.”

Saksikan episod seterusnya Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman secara langsung di TikTok TV3. Untuk info terkini dan kandungan menarik, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial.