Elliza Razak, nama yang cukup dikenali dalam dunia seni hiburan Malaysia, kini kembali dengan single terbaharunya, URAI. Lagu balada penuh emosi ini merupakan kolaborasi pertama beliau bersama Alternate Records dan hasil sentuhan tiga komposer berbakat — Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman. Dengan melodi yang menyentuh hati serta lirik yang penuh puitis, URAI diyakini mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.
Elliza, yang mula menapak dalam industri hiburan melalui sebuah program realiti pada tahun 2005, terus mengukuhkan namanya sebagai seorang artis versatil. Selain bergelar penyanyi, beliau juga dikenali dalam bidang lakonan, pentas teater, dan pelakon suara untuk rancangan Disney, drama Korea, kartun, serta drama radio. Dengan kehadiran URAI, Elliza sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam menyampaikan emosi mendalam menerusi muzik.
URAI mengangkat tema cinta yang berakhir secara tidak terduga, mengisahkan perjuangan emosi menerima kenyataan pahit. Lagu ini menggambarkan rasa kehilangan dan usaha untuk melepaskan diri daripada belenggu kesakitan cinta. “Lirik URAI menggunakan metafora seperti ‘daun cinta’ dan ‘bunga cinta’ untuk melukiskan perjalanan emosi dan realiti sebuah hubungan yang terlerai. Saya yakin ramai pendengar dapat mengaitkan pengalaman mereka dengan lagu ini. Dengarkan dan rasailah kejujuran dalam setiap baitnya,” ujar Elliza penuh semangat.
Menurutnya, cabaran terbesar dalam menyampaikan URAI adalah menyuntik keaslian vokalnya sambil menyampaikan emosi yang mendalam. “Lagu ini benar-benar menguji kemampuan vokal saya. Berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini yang lebih santai dan catchy, URAI memerlukan saya benar-benar mendalami lirik dan melodi agar mesejnya sampai ke hati pendengar,” jelasnya.
Kolaborasi bersama Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman memberikan pengalaman bermakna buat Elliza. Beliau meluahkan rasa kagumnya terhadap kehebatan ketiga-tiga komposer ini. “Saya sangat mengagumi karya Omar K, begitu juga dengan Iqie Hugh dan pengalaman Shazriq dalam industri muzik. Mereka sangat profesional dan memahami visi saya untuk lagu ini,” tambahnya.
Iqie Hugh turut memuji dedikasi Elliza sepanjang proses rakaman. “Elliza Razak adalah seorang artis yang sangat berbakat, karismatik, dan profesional. Suara lunaknya memberikan dimensi istimewa kepada URAI. Lagu ini adalah sesuatu yang wajib didengarkan,” katanya.
Melalui URAI, Elliza meneroka sisi baharu dalam karier muziknya, mengimbangkan gaya khasnya dengan elemen segar yang mampu memikat hati peminat lama dan baharu. Menariknya, lagu ini juga telah dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Akasia Akad Yang Terlindung, yang akan mula ditayangkan di TV3 pada 14 Januari 2025.
Kini, URAI boleh didengarkan di platform penstriman seperti Spotify, iTunes, dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini tentang Elliza dan Alternate Records, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).