Dalam episod terkini Famili Duo 4, pasangan adik-beradik Zahid dan Anne tidak dapat lari daripada teguran keras Datuk Rosyam Nor dan Mas Idayu mengenai persembahan mereka yang dipersembahkan melalui lagu “Hijau” oleh Datuk Zainal Abidin.
Meskipun mereka mendapat pujian kerana bakat vokal, persembahan tersebut dilihat sebagai “kosong” kerana gagal membawa aura yang diperlukan untuk memukau penonton. Teguran tersebut merupakan satu panggilan untuk Zahid dan Anne bangkit dan memperbaiki persembahan mereka agar lebih bertenaga dan bersemangat di pentas.
Zahid dan Anne berusaha keras dengan lagu ikonik tersebut, tetapi sayangnya, mereka tidak mampu menggegar pentas dengan baik. Datuk Rosyam Nor mengakui keberanian mereka mengangkat tema alam sekitar, namun beliau merasakan penghayatan Anne tidak cukup mendalam. Zahid juga dianggap hilang momentum di akhir persembahan. Mas Idayu tidak teragak-agak memberikan kritikannya, menyifatkan persembahan mereka sebagai “ke belakang” dan mengecewakan selama dua minggu berturut-turut. Dengan lirik yang terlupa dan koreografi yang kurang bersemangat, Mas Idayu mencadangkan agar duo ini tampil lebih serasi dan penuh tenaga pada minggu seterusnya untuk menawan hati juri dan penonton.
Zahid, bagaimanapun, melihat kritikan tersebut sebagai sesuatu yang positif. Beliau berpendapat bahawa komen negatif perlu diambil sebagai iktibar dan menyatakan, “Dalam pertandingan ini, kita harus bersedia dari segi mental untuk segala komen dari juri. Walaupun saya telah 20 tahun dalam industri, saya anggap diri saya masih baru dalam pertandingan ini.” Menurutnya, persiapan setiap minggu adalah cabaran besar, tetapi beliau bersyukur kerana dapat terus memberikan persembahan yang terbaik.
Dalam episod yang sama, malam itu menjadi milik Ayie Elham dan Salma Asis. Persembahan mereka yang dianggap sempurna melalui lagu-lagu klasik seperti “Bujang Senang”, “Joget Siapa Dia”, dan “Joget Berhibur” telah berjaya memikat hati juri. Dengan vokal yang mantap dan kehadiran yang bertenaga, mereka meraih 10 markah penuh dan mendapat “standing ovation” dari juri, termasuk tepukan gemuruh dari penonton. Mereka juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 untuk persembahan terbaik mingguan.
Tidak kurang menarik, adik-beradik Shiha Zikir dan Ieda Zikir juga memberikan persembahan pembukaan yang memukau dengan menggabungkan elemen tradisional dan rock dengan cara yang luar biasa. Persembahan mereka tidak hanya menarik perhatian penonton, tetapi juga mendapat pujian dari juri dengan markah tinggi.
Pasangan Didi Astillah dan Thamiera pula tidak ingin dipandang remeh. Mereka menunjukkan peningkatan yang ketara dalam vokal dan persembahan berbanding minggu sebelumnya. Walaupun Thamiera pernah dikecam kerana persembahan lepas, kali ini dia bangkit dan membuktikan bakatnya yang sebenarnya dalam menyanyi.
Berikut adalah kedudukan persembahan di minggu kedua #FamiliDuo2024:
1. Ayie Elham & Salma Asis (sepupu) – 68.8%
2. Tomok & Sharul Kamal (sepupu) – 62.3%
3. Naqiu & Joey (sepupu) – 62.1%
4. Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik) – 62%
5. Zahid & Anne (adik-beradik) – 47.1%
6. Didi Astillah & Thamiera (sepupu) – 45.8%
Carta keseluruhan menunjukkan Tomok dan Sharul Kamal menduduki tempat teratas dengan 126.8 markah, diikuti oleh Naqiu dan Joey serta Ayie dan Salma. Dengan tema mencabar seperti Hip Hop, Rap, dan Pop Dance yang akan datang, semua peserta perlu berusaha keras untuk mengekalkan momentum dan bersaing untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik.
Famili Duo 4 dibawakan khas oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama dan Marigold HL sebagai rakan penaja. Program ini turut disokong oleh platform digital seperti OhBulan! dan XTRA. Dengan undian dari penonton yang menjadi faktor penentu, peminat digalakkan untuk menyokong dan mengundi duo kegemaran mereka melalui kod promo FAMILIDUO2024. Hadiah mingguan berupa dua buah Samsung Smart TV 65′ juga menanti, berserta hadiah utama RM100,000 untuk pemenang di pentas akhir.
Kongsi pengalaman anda menggunakan hashtag rasmi #FamiliDuo dan #BerduoLebihBaik untuk menghangatkan perbualan di media sosial. Pastikan anda tidak terlepas persaingan sengit ini dan terus memberi sokongan kepada duo pilihan anda dalam Famili Duo yang akan datang!
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, ikuti laman media sosial rasmi di Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok @TV3MalaysiaOfficial.