Setelah hampir setahun lebih berehat dari dunia muzik, Wani Kayrie akhirnya membuat kemunculan semula dengan sebuah lagu baru yang pasti mencuri perhatian, berjudul “Aiman Tino”. Lagu ini diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan mendapat sentuhan penggubah lagu terkenal, Ezra Kong. Lagu ini dilancarkan melalui sedutan 1 minit di TikTok sejak 27 September 2024, dan telah menerima sambutan hangat daripada peminat Wani.
“Aiman Tino” mengisahkan tentang seorang gadis yang sedang memendam perasaan terhadap seorang lelaki yang memiliki imej comel seperti Aiman Tino. Dengan tempo lagu yang catchy dan mudah diingati, Wani Kayrie percaya lagu ini mampu menyentuh hati pendengar. “Keistimewaan lagu ini terletak pada korusnya yang sangat mudah melekat dalam minda. Kami juga memasukkan elemen kemelayuan pada bahagian ‘bridge’ lagu ini untuk memberi identiti unik kepada lagu ini,” ujar Wani.
Lagu ini juga dirancang untuk memberikan kesan positif kepada pendengarnya, dengan rentak lagu yang ceria dan menggembirakan. Menurut Wani, lagu “Aiman Tino” mampu membuatkan pendengar ingin mendengarnya berulang-ulang kali, menjadikannya lagu yang sesuai untuk semua peringkat usia, terutama mereka yang sedang memendam perasaan.
Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas menerima tawaran untuk menyanyikan lagu ini, Wani tidak dapat menahan rasa gembira. “Saya sangat teruja kerana dapat menyanyikan lagu yang sesuai dengan minat saya, dan bekerja dengan seorang penggubah lagu yang sangat berbakat, seperti Ezra Kong,” katanya.
Sher Leen Wee, Ketua Rocketfuel Entertainment, menyifatkan lagu ini sebagai sebuah karya yang sangat sesuai dengan citarasa pendengar masa kini. “Kami percaya lagu ini mempunyai potensi besar kerana ia sangat catchy, tetapi masih mengekalkan elemen muzik tempatan yang menyegarkan,” jelas beliau.
Ezra Kong, penggubah dan penulis lirik lagu ini, menceritakan bahawa “Aiman Tino” mengisahkan perasaan seseorang yang sering memikirkan seseorang yang istimewa dalam hidup mereka. “Lagu ini adalah mengenai seseorang yang menanti kepastian dari seseorang yang telah bermain dalam fikirannya. Saya mahu lagu ini mempunyai unsur ceria, humor, dan sedikit emosi,” tambah Ezra.
Lagu ini juga diwarnai dengan sentuhan budaya pop, menjadikannya sangat mudah didengari dan menghiburkan. Ezra berharap lagu ini dapat membawa perspektif baru dalam genre lagu cinta dan memberi kesan positif kepada pendengar.
Lagu “Aiman Tino” kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 1 November 2024, termasuk dalam format Dolby Atmos di Apple Music. Untuk penggemar muzik, jangan ketinggalan menantikan video muzik eksklusif yang akan dilancarkan pada 25 November 2024 di saluran YouTube Wani Kayrie TV.
Dengan lagu yang ceria dan lirik yang menggugah perasaan, Wani Kayrie sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah penyanyi serba boleh yang dapat membawakan pelbagai jenis lagu dengan penuh penghayatan.