Sun. Apr 28th, 2024

Dalam menzahirkan dedikasi dan  keprihatinan terhadap pelanggan, Pengurus Bank Islam Cawangan Seremban, Azizah Ahmad dan Duta Perkhidmatan Bank Islam Cawangan Wangsa Maju, Nurul  Syafiqah Nasarudin, berjaya menggagalkan cubaan penipuan, sekali gus  menyelamatkan pelanggan daripada mengalami kerugian kewangan yang  signifikan.

Sebagaimana rutin harian di Bank Islam Cawangan Seremban, Pengurusnya, Azizah  Ahmad, telah mengambil langkah proaktif melindungi salah seorang pelanggan  tetapnya. Azizah telah memintas transaksi untuk menyelamatkan kerugian berjumlah  RM272,000 daripada jatuh ke tangan penipu yang menyasarkan seorang pelanggan  yang tidak sedar akan tindakannya itu.

Menceritakan semula insiden tersebut, Azizah berkata,“Kejadian berlaku ketika  pelanggan tersebut hadir ke cawangan pada hari Jumaat untuk menandatangani  surat kelulusan permohonan tawaran pembiayaan peribadi. Segala nampak normal memandangkan pelanggan tersebut mempunyai rekod yang baik dengan Bank  Islam. “Namun, beberapa jam kemudian, pelanggan tersebut menghubungi  cawangan untuk melaporkan satu transaksi asing dalam akaunnya yang  meninggalkan baki hanya RM19. Tanpa berlengah, saya terus mengambil langkah  pantas untuk menangani situasi.”

Siasatan lanjut menunjukkan situasi yang membimbangkan: Pelanggan terbabit  sering diganggu penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa yang memaksa  beliau mengeluarkan wang simpanannya dengan alasan untuk membersihkan rekod  buruk beliau. Tindakan segera yang diambil Azizah telah menghalang kerugian  kewangan yang lebih besar dan menasihatkan pelanggan agar menghentikan  sementara transaksi pembiayaan peribadinya.

Sementara itu, Duta Perkhidmatan Bank Islam Cawangan Wangsa Maju, Nurul  Syafiqah Nasarudin turut berjaya membanteras cubaan menipu. Nurul Syafiqah  menyedari kelakuan mencurigakan seorang pelanggan yang cuba melakukan

pindahan Dana ASNB berjumlah RM100,000 daripada akaunnya. Naluri serta  pengalaman dan latihan yang diterima untuk mengenal pasti situasi sebegitu terbukti  betul apabila pelanggan tersebut berasa takut dan mengelak apabila disoal.

Ketika disoal, pelanggan mengakui menerima beberapa panggilan mencurigakan  yang mengarah beliau membuka akaun baharu dan memindahkan dana. Nurul  Syafiqah bersama Penolong Pengurus Cawangan, A Hakim A Rahman mengambil  tindakan pantas membongkar penipuan melalui panggilan telefon.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff  memuji tindakan pantas Azizah dan Nurul Syafiqah, menekankan komitmen Bank  dalam melindungi pelanggan. “Bank Islam komited melindungi pelanggan daripada  penipuan. Sistem dalaman dan kakitangan terlatih kami sentiasa peka dan berusaha  membanteras penipuan, sama ada secara dalam talian mahupun di cawangan,”  ujar Mohamed Iran.

Pada tahun 2023 sahaja, Bank Islam telah berjaya menangani cubaan penipuan  bernilai lebih RM11 juta, selaras dengan langkah keselamatan yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia. Langkah-langkah ini termasuk:

  • Mengukuhkan peraturan pengesanan penipuan
  • Peralihan daripada kaedah penghantaran SMS Kata Laluan Sekali Sahaja  (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat
  • Pelaksanaan pengesahan dan tempoh bertenang (cooling-off) untuk  perkhidmatan perbankan elektronik
  • Membenarkan pendaftaran untuk satu peranti mudah alih atau peranti yang  selamat
  • Menyediakan saluran aduan khusus yang beroperasi sepanjang masa (24/7)  demi kemudahan pelanggan.

Mohamed Iran turut menekankan kepentingan mendidik dalam membanteras  penipuan: “Penipu sangat licik dalam memanipulasi dan sentiasa menukar taktik  penipuan mereka. Adalah penting untuk kita memahami kesannya terhadap mangsa serta psikologi penipu.” Matlamat Bank Islam untuk melindungi dan mendidik  pelanggan agar peka dengan taktik penipuan yang berubah-ubah dan sentiasa  berwaspada.

Komitmen teguh Bank Islam adalah keselamatan pelanggan, memanfaatkan  teknologi terkini dan mempunyai pasukan yang proaktif melindungi pelanggan  daripada aktiviti penipuan. Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang dipercayai, Bank Islam kekal berdedikasi memastikan ketenangan minda pelanggan  terpelihara.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *