Yayasan MR D.I.Y. Galak Pembelajaran Kreatif Melalui Program CERIA@Muzium Negara
Yayasan MR D.I.Y., sayap tanggungjawab sosial korporat Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan dengan menyokong pelaksanaan program CERIA@Muzium Negara, yang direka untuk menyemai minat terhadap pembelajaran dan kreativiti dalam kalangan pelajar pelbagai peringkat usia.
Program ini merupakan sebahagian daripada Kalender Program 2025 Muzium Negara yang bertujuan untuk menggalakkan pemahaman terhadap sejarah, budaya dan warisan negara secara menyeronokkan. Melalui pendekatan pendidikan interaktif, CERIA@Muzium Negara menjadi platform yang ideal untuk memupuk semangat ingin tahu dan pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda.
Sebagai rakan kerjasama utama, Yayasan MR D.I.Y. telah menyalurkan pelbagai bahan pembelajaran bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk digunakan dalam aktiviti hujung minggu yang dijalankan setiap hari Sabtu bermula Mac hingga Disember 2025. Program sulung bertemakan STEM yang dilangsungkan baru-baru ini berjaya menarik lebih 200 peserta, merangkumi kanak-kanak tempatan, ibu bapa serta pelancong dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, berkata:
“Kami percaya bahawa pembelajaran yang menyeronokkan mampu mencetus inspirasi dan membina masa depan lebih cerah buat generasi muda. Melalui program ini, kami berpeluang menyokong usaha memupuk kreativiti sambil mempromosikan kekayaan sejarah serta budaya Malaysia. Ia juga mencerminkan dedikasi kami dalam memperkasa pendidikan yang mudah diakses dan berimpak tinggi.”
Program ini terbuka kepada pelajar prasekolah hingga sekolah menengah, dan turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti bertemakan DIY dan STEM. Pendekatan pembelajaran melalui pengalaman ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu membina kemahiran insaniah dan semangat kekeluargaan.
Yayasan MR D.I.Y. kekal komited untuk terus memperkasa masyarakat menerusi program pendidikan dan pembangunan bakat muda, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menjadi pemacu perubahan positif dalam komuniti.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yayasan MR D.I.Y., layari www.mrdiy.com atau ikuti saluran rasmi mereka di Facebook, Instagram dan TikTok.