LATEST

Zizi Safira Lancarkan Single ‘Merana’ Gabungan EDM Moden dan Tradisi Nusantara

Penyanyi berbakat dari Sabah, Zizi Safira, kini melangkah ke satu fasa baru dalam karier muziknya dengan pelancaran single terbarunya, “Merana”. Lagu yang diterbitkan oleh Alternate Records & Talent ini menggabungkan elemen muzik moden EDM bersama sentuhan tradisional Nusantara, menjadikannya satu karya yang menarik untuk didengar oleh semua lapisan peminat muzik.

Zizi Safira, yang mula menyanyi secara profesional pada tahun 2018, dikenali dengan suaranya yang bertenaga dan memukau. Sejak itu, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan nyanyian dan telah menghasilkan tiga single yang dilancarkan di Sabah. Salah satu pencapaian besar dalam kerjayanya adalah kejayaannya menjuarai episod program popular TV3, I Can See Your Voice Malaysia, pada Julai 2024, yang membuka lebih banyak peluang dalam dunia muzik.

Lagu “Merana” dihasilkan oleh komposer terkenal Mas Dewangga dan Jova Devito, dan ia mengisahkan tentang seseorang yang melalui pelbagai tekanan emosi namun memilih untuk bertahan dan melawan kesakitan itu dengan semangat dan keyakinan. Lagu ini memberikan mesej yang kuat mengenai ketabahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup.

Menurut Zizi, “Merana” merupakan lagu yang berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dibawakannya sebelum ini. Gabungan bunyi tradisional yang menyentuh perasaan dengan elemen moden membuatkan Zizi jatuh cinta dengan lagu ini sejak pertama kali mendengarnya. “Saya sangat teruja untuk mencabar diri sendiri dan memberikan yang terbaik dalam karya ini,” ujar Zizi.

Bekerjasama dengan Mas Dewangga dalam lagu ini memberi pengalaman yang sangat bermakna baginya. “Kerjasama dengan Abang Mas Dewangga sangat berharga kerana beliau memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk menyampaikan lagu ini dengan cara saya sendiri. Proses rakaman juga sangat cepat dan lancar. Cabaran utama adalah untuk menyampaikan emosi yang mendalam, dengan karakter sinis, sambil mengawal vokal dan pernafasan untuk memberikan kesan yang maksimal,” tambah Zizi.

“Merana” mengangkat genre EDM ke tahap yang lebih tinggi dengan menggabungkan elemen progressive house dan pop-dance bersama alat muzik tradisional. Mas Dewangga menyatakan, “Zizi adalah seorang penyanyi yang sangat profesional dan bertenaga. Vokalnya yang kuat memberikan impak besar dan menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar lagu EDM biasa.” Mas Dewangga berharap lagu “Merana” akan menjadi fenomena baru dalam industri muzik Malaysia dan meraih tempat di hati pendengar di platform digital serta acara muzik.

Single “Merana” akan dilancarkan di semua platform digital pada 6 Disember 2024. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan Alternate Records & Talent, pengikut boleh melawat laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.