Kumpulan Zuara mencipta detik istimewa dalam minggu keenam program komedi popular, Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4), dengan meraih sorakan ‘standing ovation’ serta penilaian tertinggi ‘tiga bintang’ daripada barisan juri.
Dinobatkan sebagai Gempak Superstar of The Week, Zuara membuktikan kemahiran mereka dengan satu ‘comeback’ luar biasa selepas hampir tersingkir pada minggu sebelumnya.
Minggu ini, Zuara mengangkat tema “Tempat Seram” dan “Tempat Awam”, yang membawa mereka ke kedudukan tertinggi dengan markah keseluruhan sebanyak 65.49%. Tempat kedua diduduki oleh kumpulan Sarkas dengan markah 57.08%, manakala Gebu di tangga ketiga dengan 56.49%. Malangnya, Bravo menamatkan perjuangan mereka dalam MLS4 selepas memperoleh markah terendah sebanyak 46.75%.
Minggu keenam ini turut diwarnai oleh kemunculan istimewa artis-artis popular tempatan sebagai bintang undangan dalam sketsa-sketsa yang dipersembahkan, antaranya ialah Sherry Alhadad, Haqiem Rusli, dan Nasha Aziz, yang menambah elemen segar dan menghidupkan pentas. Dato’ Awie tampil sebagai juri jemputan bersama juri tetap Anna Jobling dan Saiful Apek, menjadikan suasana pertandingan semakin meriah dan menarik.
Episod yang sarat dengan jenaka ini memaparkan usaha gigih setiap kumpulan untuk mencuit hati penonton dan juri dengan kreativiti mereka. Zuara, yang hampir tersingkir sebelumnya, bangkit dengan persembahan luar biasa yang menawan hati juri dan penonton, membuktikan mereka layak menyandang gelaran Gempak Superstar of The Week.
Berikut ialah senarai penuh markah kumpulan-kumpulan yang bertanding pada minggu keenam:
1. Zuara – 65.49%
2. Sarkas – 57.08%
3. Gebu – 56.49%
4. Padie – 55.84%
5. Deroyan – 55.51%
6. Putehh – 53.17%
7. Bravo – 46.75%
Jangan ketinggalan menyaksikan Muzikal Lawak Superstar 4 yang bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di Astro Warna (Saluran 107), serta boleh ditonton di On Demand, Astro GO, dan sooka. Saksikan kumpulan-kumpulan ini menguji bakat komedi mereka di pentas lawak penuh cabaran ini dan nantikan siapa yang bakal menambat hati juri serta siapa yang mungkin perlu meninggalkan pentas MLS4 dalam minggu-minggu mendatang.