Sat. Apr 27th, 2024

Halaqah kini kembali dengan nafas baharu dan muncul dengan teknologi hologram khas buat penonton setia yang menanti-nantikan kemunculan program ilmuan ini. Penonton bakal disajikan dengan kandungan yang lebih segar dan menarik kerana setiap episod akan mengadaptasikan perkongsian teknologi terkini menggunakan kecerdasan buatan (AI – Artificial Intelligence) bermula 15 Mac 2024, setiap hari Jumaat pada pukul 6.00 petang di TV3.

Istimewa bulan Ramadan ini, Halaqah dibawakan oleh Akademi Al-Bayan dengan tema ‘Rumah Kebijaksanaan, 1 Agama Pelbagai Bangsa’ dan menampilkan tiga mesej utama melalui segmen-segmen menarik iaitu ‘Kemajuan Zaman’, ‘Era Keemasan Abbasiyah’ dan ‘Tugasan Mujaddid’. Sepanjang 13 episod ini, penonton akan diberi penjelasan dan kupasan tentang topik menarik oleh barisan panel tetap Haji Ahmad Noor Sulaiman (siarawan), Dato Dr. Danial Zainal Abidin (bintang ilmuwan), Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud (panel analisis) dan Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (bintang ilmuwan).

Antara topik menarik yang akan dikongsikan adalah, ‘A.I. Di Mata Islam’. Para panelis akan membincangkan tentang kemampuan A.I. dan juga ChatGPT untuk menjawab pelbagai soalan, termasuk hukum asas agama dan ketepatan hukum. Antara lain adalah ‘24 Nama Di Bulan’. Tahukah kita, sebagai tanda penghargaan dunia terhadap sumbangan peradaban Islam, 24 nama ilmuwan dan ulama Islam terkemuka, telah diabadikan pada kawah-kawah bulan. Topik ini sangat menarik dan tidak diketahui ramai.

Tentunya penonton tidak sabar untuk menantikan episod-episod yang akan datang kerana selain daripada topik yang menarik, ia juga menggandingkan hologram yang bersesuaian dengan topik. TV3 telah bekerjasama dengan Fakulti Multimedia, Kreatif & Pengkomputeran, Kolej Universiti Islam Selangor untuk teknologi hologram sekaligus menyelaraskan perkongsian dan gambaran daripada AI, manakala pakaian istimewa panelis bagi setiap episod pula hasil usahasama dengan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Tidak hairanlah rancangan ilmuan Halaqah ini pernah menguasai tiga kategori di Anugerah Seri Angkasa 2022 menerusi Kategori Set TV Terbaik oleh Mohamad Izuan Munshid (Halaqah 2020), diikuti Kesan Khas TV Terbaik (Halaqah 2021) dan meraih Anugerah Khas Juri menerusi Halaqah Episod 7: Bencana, Muhasabahkah Kita?

Nantikan rancangan bual bicara dan pengisian ilmu Halaqah, bermula 15 Mac 2024 di TV3 dan Strim Juga Melalui Tonton di SMART TV www.tonton.com.my dengan muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *