INASIS BANK ISLAM SUNTIK MOTIVASI MAHASISWA UUM TINGKAT PRESTASI

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam  atau Bank), hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Peruntukan dan  Penjenamaan Inapan Siswa (Inasis) Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada Inasis Bank  Islam.

Penjenamaan baharu ini melibatkan kos penajaan bernilai RM350,000 dalam bentuk  Dana Endowmen bagi tempoh 10 tahun bermula 2024 yang melibatkan lapan (8) buah  blok kolej demi manfaat 1,028 mahasiswa di inapan siswa berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed  berkata, kolaborasi antara Bank Islam dan UUM telah bermula sejak tahun 2005 dengan  pembukaan cawangan Bank Islam di UUM, Sintok, disusuli pengenalan kad debit-i  jenama bersama UUM-Bank Islam Unidebit serta program universiti tanpa tunai pada  tahun 2014. Kini, kerjasama ini diteruskan dengan penjenamaan baharu kampus

kediaman, Inasis Bank Islam.

“Kami turut memperuntukkan sejumlah RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan asas dan blok-blok kediaman Inasis Bank Islam demi keselesaan mahasiswa. Usaha ini  diharap dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar dalam keadaan yang  lebih kondusif.

“Sehubungan itu, bagi melengkapi usaha UUM dalam mendidik generasi muda berilmu  negara, Bank Islam akan menyediakan peluang latihan kepada graduan-graduan UUM,”  tambah Dato’ Mohd Muazzam.

Ujar beliau lagi, sebagai sebuah institusi perbankan Islam ulung yang ditubuhkan 40  tahun lalu, Bank Islam amat berbangga dapat berkolaborasi dengan UUM, sebuah  institusi pengajian tinggi yang terkemuka di negara ini.

“Bank Islam turut berkongsi rezeki dan kemakmuran bersama warga UUM melalui  sumbangan dana zakat sebanyak RM30,000 pada tahun 2022 dan 2023. Ia telah  dimanfaatkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian  mereka di UUM.”

Memorandum perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Canselor UUM, Prof.  Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Turut menyaksikan majlis menandatangi memorandum perjanjian antara Bank Islam dan  UUM ialah Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam, Mohd Noor Jab dan Timbalan Naib  Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam ucapan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Fo’ad berkata, jutaan terima kasih  kepada Bank Islam atas kesudian menaja dan menjenamakan semula Inasis ini kepada  Bank Islam.

Menurutnya, kompleks kediaman pelajar tersebut merupakan kompleks kelima yang  dibina di kampus UUM pada awal tahun 1991 dan mampu menyediakan kediaman untuk lebih 1,000 pelajar.

Beliau juga menyatakan harapan supaya jalinan kerjasama ini akan dapat membantu  kedua-dua pihak dalam meningkatkan percambahan ilmu, khususnya dalam bidang  keusahawanan dan perniagaan, dalam kalangan pelajar UUM.

Dalam mengukuhkan hubungan baik sedia ada, Bank Islam dan UUM akan  menggunakan peluang yang wujud bagi memacu kapasiti ekosistem keusahawan sosial  di UUM termasuk penganjuran program-program seperti Impak Rangkuman Kewangan,  Inkubasi Usahawan dan Celik Kewangan, kerjaya dan peluang latihan industri di kampus  UUM.

Mengenai Bank Islam Malaysia Berhad (No. Pendaftaran Syarikat [198301002944(98127-X)]

Bank Islam adalah institusi perbankan Islam pertama di Malaysia yang disenaraikan di Papan  Utama, Bursa Malaysia Berhad. Ditubuhkan pada bulan Julai 1983 sebagai institusi perbankan  Islam pertama di Malaysia, Bank Islam mempunyai 135 cawangan dan lebih daripada 900  terminal layan diri di seluruh negara. Sebagai institusi perbankan Islam lengkap dan tulen, Bank  Islam menyediakan penyelesaian perbankan dan kewangan yang mematuhi undang-undang dan  prinsip Syariah dengan ketat serta komited terhadap hasrat kemakmuran lestari dan nilai-nilai  ESG. Anak syarikat utama Kumpulan Bank Islam adalah perintis dalam pelbagai perkhidmatan  kewangan Islam, termasuk pelaburan dan pembrokeran saham, iaitu BIMB Investment  Management Berhad dan BIMB Securities Sdn Bhd. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai  produk dan perkhidmatan kumpulan Bank Islam, layari www.bankislam.com

Untuk maklumat lanjut, sila emel ke: media@bankislam.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *