KARYA ‘CAMPAK BINTANG’ MENGGABUNGKAN POP TERKINI DENGAN WARISAN BUDAYA MELAYU

Sejarah tercipta dalam industri muzik apabila dua ikon muzik Malaysia, Dato’ M. Nasir dan Faizal Tahir, berkolaborasi dalam single terbaru mereka berjudul “Campak Bintang.” Lagu ini diterbitkan oleh Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd. “Campak Bintang” merupakan karya yang menyatukan unsur pop dengan warisan budaya Melayu, membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional. Gabungan kreatif dari dua seniman ini menghasilkan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati dan merentasi generasi.

“Campak Bintang” adalah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang kita cintai untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih berharga, kata Faizal Tahir. Berkenaan pemilihan Dato’ M.Nasir untuk berduet, Faizal Tahir menjelaskan pemilihan Dato’ M.Nasir kali ini adalah sesuatu yang besar dan keputusan ini tidak dilakukan sebarangan. Ujar Faithful Music, “Kami merasakan kehadiran Dato’M.Nasir sangat diperlukan dengan kehendak lagu dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Dato’ M.Nasir dan tim Luncai Emas memberikan kerjasama yang sangat baik.”

Menurut Dato’ M.Nasir, “Dunia muzik telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal Tahir dan hampir juga ia diselamatkan generasi ini. Lega kerana ada sang pengkarya yang tidak habis-habis melahirkan karya-karya baru yang berkualiti sejak kemunculannya, Lagu ini, sumbangan kami berdua, adalah satu manifestasi.” 

Single “Campak Bintang” yang dinyanyikan oleh Dato’ M. Nasir dan Faizal Tahir adalah hasil ciptaan Faizal Tahir bersama Romeo, Glowrush, dan Karim Karam. Kolaborasi ini terwujud melalui kerjasama kedua-dua pihak. “Syukur ke hadrat Illahi, dengan izin-Nya, sempurnalah satu lagi karya muzik dari dua penyanyi ikon muzik seperti M. Nasir dan Faizal Tahir,” kata Luncai Emas Sdn Bhd.

Faizal Tahir belum mempunyai sebarang perancangan berkenaan langkah seterusnya, tetapi tidak menolak jika ada rezeki untuk berkolaborasi dengan M.Nasir sekali lagi atau penyanyi yang lain. 

Faithful Muzik dan Luncai Emas berharap single duet ini dapat diterima oleh semua peminat M.Nasir & Faizal Tahir khususnya serta para media dan juga masyarakat. Sebuah video klip bagi single ini telah dibuat penggambarannya pada 19 April yang lalu bertempat di Cine Studio. Single ini juga telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran youtube Faizal Tahir pada 3 Mei lalu. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *