Wed. May 22nd, 2024

Kempen MYSaveFood untuk Mengurangkan Pembaziran Makanan kini melebarkan sayapnya ke Melaka. YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah melawat Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di Bandar Baru Merlimau untuk melihat sendiri operasi yang dikawal sepenuhnya oleh Belia GEMA Malaysia. Organisasi (GEMA).

Inisiatif mengelakkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan sepanjang Bulan Ramadan turut mendapat dokongan dan kerjasama dari MARDI untuk dilaksanakan di seluruh Malaysia. Seawal jam 4.00 petang, sukarelawan GEMA memberikan advokasi kepada peniagapeniaga bazar berkenaan dengan pengumpulan lebihan juadah yang tidak terjual dan makanan ini dikumpulkan selepas waktu berbuka puasa. Makanan tersebut seterusnya diasing dan ditimbang bagi tujuan rekod sebelum diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan termasuk 100 orang pelajar di Politeknik Merlimau (PMM) yang turut menjadi penerima pada hari ini.

Pada masa yang sama, sebanyak 300 pek makanan retort hasil sumbangan KPDN dan Hotel Le Meridean Putrajaya turut diberikan kepada pelajar-pelajar terlibat termasuk makanan kering dan air mineral melalui Foodbank Gerakan Pengguna Siswa. Untuk rekod, KPDN telah bekerjasama dengan pihak hotel terpilih seluruh Malaysia untuk menyelamatkan makanan yang tidak disentuh dengan memanjangkan jangka hayat makanan tersebut melalui proses retort. Sejumlah 792 pek makanan bersamaan 62kg telah melalui proses retort diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Untuk makluman, kutipan setakat 12 April 2023, sejumlah 19.84 tan makanan dapat diselamatkan daripada pembaziran melalui keterlibatan 1,227 orang sukarelawan dalam menjayakan program MySaveFood di 43 lokasi Bazar Ramadan terpilih seluruh negara.

Bagi memberi ilmu kepenggunaan dan menambah kesedaran kepada masyarakat untuk mengelakkan pembaziran dan memelihara alam sekitar, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Melaka (SWCorp) turut mengadakan taklimat berkaitan pengguna dan Alam Sekitar. Taklimat ini bertujuan untuk memberi kesedaran bagi mengelakkan pembaziran makanan dan menambah ilmu kepenggunaan daripada pihak SWCorp bagi menjana kreativiti serta inovasi dalam menggunakan peluang yang ada untuk memelihara alam sekitar. Seramai 117 peserta taklimat terdiri daripada Gerakan Pengguna Daerah Jasin, Gerakan Pengguna Siswa dan Pelajar daripada Politeknik Merlimau terlibat dalam program ini.

KPDN juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) dengan pemberian insentif e-tunai kepada pengguna/ peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama rakan strategik tertakluk kepada 1,000 pengguna terawal di semua lokasi BRR di negeri Melaka. Di BRR Bandar Baru Merlimau, sejumlah 16 peniaga daripada jumlah keseluruhan 47 peniaga secara sukarela menawarkan Menu RAHMAH.

KPDN Negeri Melaka merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Inisiatif MySaveFood, BRR dan ReDI ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Negeri Melaka di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.

 

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *