KONTINJEN NEGARA JUARA KESELURUHAN KEJUARAAN SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023

Pasukan negara menjuarai Kejohanan Silat Perdana Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 dengan mengumpul 11 ​​pingat emas, 2 perak, dan 2 gangsa di Stadium Perpaduan di Petra Jaya malam ini.

Sarawak selaku tuan rumah pula muncul naib juara selepas menamatkan kempen selama enam hari itu dengan pencapaian 9 emas, 9 perak dan 9 pingat gangsa. Singapura pula dikedudukan ketiga dengan pencapaian 8 emas, 10 perak dan 5 pingat gangsa.

Dengan kejayaan tersebut skuad negara berjaya membawa pulang hadiah wang tunai untuk juara keseluruhan berjumlah USD20,000 manakala Sarawak menerima USD4,000 dan Singapura pula menerima USD2,000. Penguasaan barisan pesilat negara dalam acara final bagi kategori senior itu memang luar biasa.

Sembilan wakilnya yang beraksi di final bagi kategori masing-masing ternyata tidak menghampakan dan cabaran yang mereka harungi berakhir dengan kilauan emas.

Misi memburu emas skuad negara itu bermula dengan kemenangan yang dilakar oleh Afiq Aniq Fazly yang tampil tangkas untuk menumbangkan lawannya dari Singapura, Muhd Syahiran Jeffry dalam kategori Putra G senior.

Pada perlawanan akhir itu, Afiq Aniq yang dibimbing bekas juara dunia, Siti Rahmah Nasir menang dengan keputusan 25-15, sekali gus menghadiah emas pertama buat kontinjen negara. Afiq merupakan pemenang pingat gangsa pada kejuaraan Pencak Silat Antarabangsa Terbuka Sultan pada 2020 di Tashkent, Uzbekistan.

Saingan bagi kategori Putri B senior yang menyusul selepas itu berlangsung sengit dan atlet negara, Norsyakirah Muksin dipaksa mengerah tenaga oleh pencabarnya, Syaza Insyirah Roslan dari Singapura.

Kedua-dua pesilat sering berbalas serangan, namun Norsyakirah berjaya mengawal situasi, sekali gus menyaksikannya meraih kemenangan dengan keputusan 19-13 untuk emas kedua negara.

Selepas itu, Mohamad Hazim Amzad pula menjelmakan kilauan emas buat skuad negara menerusi kemenangannya dalam perlawanan akhir kategori Putra C senior. Hazim menewaskan pesilat Singapura, Aniq’ Asri Mohd Yazid dengan keputusan 25-15.

Rentak cemerlang pesilat berterusan dan kali ini giliran Muhammad Izzul Irfan Marzuki mencatat nama selaku penyumbang emas. Dia menang dengan keputusan 30-28 ke atas pesilat tuan rumah, Mohd Ashraf Amirul Razaman dalam kategori Putra D senior.

Tiga lagi pingat emas yang berjaya dikutip skuad negara adalah menerusi kemenangan Siti Shazwana Ajak (Putri D senior); Nor Farah Mazlan (Putri A senior) dan juga Mohd Abdul Latif Mazakir dalam kategori Putra H senior.

Dua lagi wakilnya yang beraksi di final, Muhammad Robial Sobri sekadar berpuas hati dengan pencapaian pingat perak dalam kategori Putra I senior. Robial tewas 0-15 kepada juara dunia dari Singapura, Sheik Ferdous Sheikh Alau’ddin.

Muhd Amizul Azmi Mohammad Ridzuan pula dikejutkan dengan kekalahan oleh pesilat Terengganu, Mohd Afifi Nazri dalam kategori Putra A senior.

Menurut jurulatih skuad negara, Siti Rahmah Nasir, pencapaian para pesilat pada SPISC ini menepati apa yang telah mereka sasarkan.

“Mereka telah mempamerkan kesungguhan dan SPISC ini merupakan medan terbaik buat kami melakukan persediaan menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.

“Kesemua pesilat yang beraksi pada SPISC merupakan kontinjen yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti dan secara keseluruhannya, mereka sudah siap baik dagi segi mental dan fizikal,” jelas Siti Rahmah yang juga bekas juara dunia.

Sarawak pula yang mempunyai empat wakil beraksi di final bagi kategori senior ini menyaksikan mereka membawa pulang dua emas pingat emas untuk menjadikan jumlah keseluruhan 9 emas selepas kejayaan meraih 5 emas dalam kategori junior dan dua menerusi acara seni.

Dua emas yang mereka peroleh malam ini disumbangkan oleh Zulaika Razaman yang menang tanpa bertanding dalam kategori Putri C selepas lawannya, Nur Adilah Mohamad Zamri dari Negeri Sembilan menarik diri.

Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong pula meraih emas dalam kategori Putra Terbuka 1 selepas menundukkan lawannya Muhammad Rohaizad Shah Mohd Rosul (ATM) 33-15.

Harapan tuan rumah dalam acara Putri E senior menemui kehampaan apabila wakilnya Raveena Jeno gagal menghadiahkan emas selepas tewas kepada pesilat Singapura, Siti Khadijah Mohd. Shahrem.

Tujuh pesilat junior Sarawak layak ke final dalam kategori masing-masing pada sebelah pagi tadi dan lima daripada mereka berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen mereka.

Pemburuan emas Srikandi Bumi Kenyalang bermula dengan kejayaan Nor Azeman Pie’e yang mencatat kemenangan 26-13 ke atas lawannya, Muhammad Iman Zhafran Abdul Hamid (Negeri Sembilan) dalam kategori Putra B junior.

Prettia Omeera Abdul Rahman yang turun membuat perhitungan dalam acara final kategori Putri F junior berdepan cabaran dari atlet Perlis, Amna Wong Daniel Wong dan kedua-duanya tampil dengan aksi yang seimbang. Namun, nasib menyebelahi Prettia yang menang tipis 56-54 ke atas jaguh dari Perlis itu.

Kecemerlangan Prettia diteruskan oleh Josh Chua yang menang bergaya dengan keputusan TKO 54-47 ke atas wakil Indonesia, Dapa Riki Ananda, sekali gus menghadiahkan emas tiga Sarawak. Rentetan pungutan pingat emas diteruskan menerusi Sharifah Nurhalimatun Wan

Mohamad yang menang mudah ke atas pesilat Brunei Darussalam, Dyg Muna Awg Munir dalam kategori Putri G senior. Sharifah Nurhalimatun menang dengan keputusan 42-12.

Final bagi kategori Putri B junior pula menyaksikan pesilat Sarawak menamatkan pertarungan tersebut dengan kemenangan pingat emas dan perak. Dua wakil Sarawak beraksi di final yang berkesudahan Nurul Maisyarah menjulang emas selepas menewaskan rakan sepasukannya, Nur Hazeerah Syafiqah Suffian dengan keputusan 40-26.

Kejayaan yang dicapai oleh barisan pesilat remaja Sarawak itu membuktikan bahawa mereka kini mempunyai atlet pelapis yang berwibawa dan ia menjanjikan masa depan yang sangat cerah buat sukan silat di negeri berkenaan.

Edisi sulung kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula sejak 27 Februari lalu ditutup secara rasminya oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), YB Dr Ripin Lamat yang turut dihadiri Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak, Dato’ Haji Mohd Yusnar Haji Matalie. Kejuaraan yang menghimpunkan lebih 500 pesilat dari seluruh negara termasuk Amerika Syarikat, Uzbekistan, Kyrgrystan, Belanda, Filipina, Indonesia, Thailand dan juga Singapura.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *