Mon. Apr 15th, 2024

Walaupun Kumpulan Legenda Rock Tanah Air, Search ini tidak pernah mengeluarkan karya khas sempena Hari Perayaan Aidilfitri, ini tidak bermakna mereka enggan menyertai dalam memeriahkan pasaran dengan lagu-lagu sedemikian.

Ironi, usia lebih tiga dekad Search meski tanpa kelahiran lagu Raya juga sudah cukup bermakna buat peminat.

Namun, 2024 menjadi tahun bersejarah buat Search dan peminat apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary ini terbit dengan karya perdana sempena meraikan hari kemenangan umat Islam.

Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri ulung yang akhirnya diterbitkan Search sempena merayakan bulan penuh berbahagia ini.

Tidak meninggalkan kentalnya genre rock dan balada serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu yang telah dihasilkan sejak lebih 30 tahun lalu, Sujud Aidilfitri juga dibalut dengan nuansa serupa.

Tidak ada yang extravaganza mengenai Sujud Aidilfitri namun mesej yang ingin disampaikan Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait lirik yang dihasilkan.

“Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana Hari Kemenangan itu sendiri.

“Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.

“Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.

“Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” ujar vokalis Search, Amy.

Menurut Search lagi, keputusan merakamkan Sujud Aidilfitri adalah sebagai sebuah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan kerana pendengar lebih memilih mendengar lagu raya lama yang bersifat malar segar.

“Tidak dinafikan saban tahun akan ada lagu raya baharu dirakamkan tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah atau bersifat keraian.

“Jadi Search memilih nuansa yang lebih kental dari melodi dan liriknya sesuai dengan kematangan kami,” ujar pemain bass, Nasir pula.

Sujud Aildilfitri diilhamkan sepenuhnya oleh Jun dan Search dengan Rie Tsuji menghulurkan kepakaran sebagai arranger, Rozhan (mixing & mastering). Dipasarkan oleh Universal Music, Sujud Aidilfitri yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio turut memiliki klip video yang dijalankan di Terengganu.

“Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana kolaborasi yang terjadi untuk melancarkan klip video Sujud Aidilfitri.

“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” ujar Search mengenai klip video yang diarahkan oleh Datuk M. Razlan Ismail.

Jangan terlepas untuk mendengarkan Sujud Aidilfitri di semua corong radio atau platform digital dan klip video juga boleh ditonton di laman YouTube Universal Music.

INFOMASI MENGENAI LAGU SUJUD AIDILFITRI DAN MUZIK VIDEO

MUSIC VIDEO ~ SUJUD AIDILFITRI
Lagu : Jun & Search
Lirik : Jun
Artis : SEARCH – Amy, Nasir, Man Kidal & Hillary
Arranger : Rie Tsuji
Mixing : Rozhan
Mastering : Rozhan
Executive Producer : Nourish Hassan
Penerbit : Search
Pengarah : Datuk M. Razlan Ismail
Pen. Pengarah : Jeep Rahim
Pengarah Fotografi : Takeem
Pen. Fotografi/Teknikal : Amir
Pengurus Produksi (PM) : Tasha Sivan
Pen. Pengurus Produksi (Asst) : Syed Mohd Ridzuan Syed Kamil
Penyunting : Takeem
Terbitan : GoSearch Record
Distributor: Universal Music

Dengan kerjasama :
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu
AirAsia Berhad
DreamAtWork Sdn Bhd

LIRIK SUJUD AIDILFITRI – SEARCH

DI AIDILFITRI YANG MULIA INI
HAPUSKAN DUKA LARA
INSAFKAN SENGKETA ANTARA KITA

SYAWAL MENJELMA
SUJUD KU PINTA
KEAMPUNAN RAHMAT DARI NYA

SETAHUN SENJA
MENITI ARUS
LESAP MENGALIR AIRMATA

HALAMAN KISAH KITA
MUNGKIN TERCORET PRASANGKA
YANG DUKA
KU SUSUN SEPULUH JARI
TANDA KEMAAFAN

( pre chorus )
DI AIDILFITRI YANG MULIA INI
HAPUSKAN DUKA LARA
INSAFKAN SENGKETA ANTARA KITA

SALAM KEDAMAIAN
BAGI SETIAP INSAN
MAAF ZAHIR DAN BATIN
IKHLAS DARI HATI YANG TERDALAM

( chorus )
SELAMAT OH… SELAMAT HARI RAYA
SELAMAT… SELAMAT HARI RAYA

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *