Fri. May 24th, 2024

Majlis Pelancaran Inisiatif PAYUNG RAHMAH bersama TF Value-Mart dan Majlis Perasmian TF Value-Mart Cawangan Sungai Lalang, Kedah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan berlangsung di TF Value-Mart, Sungai Lalang, Bedong, Kedah.

Perasmian Cawangan TF Value-Mart di Sungai Lalang, Kedah ini adalah bukti komitmen tinggi pihak pengurusan dan seluruh warga kerja TF Value-Mart sejak pembukaan operasinya pada 13 April 2023 yang lalu iaitu menjelang seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Lokasi TF Value-Mart yang dirasmikan pada hari ini adalah lokasi yang ke-44 dibuka dan beroperasi di Malaysia (dan yang ke-6 di Kedah) adalah simbol kepada hasrat berterusan pihak pengurusannya untuk membuka lebih banyak operasi di bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar dan seterusnya memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai barang keperluan dengan harga yang lebih rendah.

Selaras dengan majlis pada hari ini, TF Value-Mart Cawangan Sungai Lalang melaksanakan Jualan RAHMAH yang terhad untuk tempoh 8 dan 9 Mei sahaja, dengan (antaranya) meliputi barangan keperluan harian seperti berikut:

  • Ayam Segar RM8.99 sekilogram (Harga asal RM9.40 sekilogram);
  • Buah Tomato RM1.99 sekilogram (Harga asal RM3.99 sekilogram);
  • Bawang Merah Besar RM5.00 untuk 3 kilogram (Harga asal RM8.99 untuk 3 kilogram);
  • Minyak Masak Seri Murni saiz botol 5 kg RM26.99 (Harga asal RM28.99 untuk saiz yang sama); dan
  • Pek MILO 2-kilogram RM32.99 (Harga asal RM36.99 untuk pek yang sama).

Sementara itu, pelaksanaan semua Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH di semua 44 cawangan pasar raya dan pasar raya besar TF Value-Mart di seluruh negara meliputi aktiviti Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH yang merangkumi sehingga 1100 SKU (Stock Keeping Unit) produk barangan keperluan harian, yang ditawarkan dengan potongan harga sekurang-kurangnya 10% daripada harga jualan biasa.

Selain itu, TF Value-Mart turut menyahut seruan KPDN dengan melaksanakan Inisiatif Bakul RAHMAH sempena majlis ini dengan menyumbang kepada 50 keluarga daripada golongan yang memerlukan. Bakul RAHMAH yang disumbangkan ini merangkumi barangan keperluan asas (antaranya) seperti beras, minyak masak dan susu pekat yang bernilai RM100.00. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak pengurusan dan seluruh warga kerja TF Value-Mart untuk mengagihkan sejumlah 2,000 unit Bakul RAHMAH yang bernilai RM200,000.00 pada sepanjang tahun 2023.

KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalm situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

Di bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Program Payung RAHMAH adalah manifestasi 3 keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, SUNGAI LALANG, KEDAH, 8 MEI 2023.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *