Sun. Apr 14th, 2024

Menghampiri usia 28 tahun dalam bidang seni suara, penyanyi ulung Dato’ Sri Siti Nurhaliza muncul dengan album solo ke-20 yang berjudul Sitism. Album Sitism pertama kali dilancarkan secara digital dengan mengandungi 8 buah lagu pada 30 Jun 2023, kemudian lengkap 12 lagu sepenuhnya pada 8 September 2023.

Album ini membawa makna mendalam bagi Siti, kerana ia membolehkannya bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu, dan penulis lirik dari generasi lama dan juga yang baharu. Kolaborasi ini memberikan ciri tersendiri kepada Sitism dan mampu memenuhi selera peminat Siti dari pelbagai kumpulan usia.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam tersebut.

Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza. Siti memilih tarikh 20 September 2023 sebagai tarikh pelancaran album beliau ke-20 sebagai simbolik angka tersebut bersamaan dengan jumlah album solo yang telah dihasilkannya. Walaupun berjarak hampir dua bulan pelancaran album Sitism dan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan 4 buah lagu, Siti dapat memperomosikan lebih banyak lagu sebelum muncul album lengkap. Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

Tambah Siti, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal. Pada detik ini, beliau memilih untuk terus menghasilkan album yang terbaik di samping dapat mengangkat karya insan seni lama dan baharu. Menjadi satu tanggungjawab kepada beliau untuk menghargai setiap bakat yang ada dan tentunya penerbitan album merupakan salah satu platform tersebut.

Album Sitism bertambah istimewa apabila Siti mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023. Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Album fizikal ini juga turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi) danTeratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King), Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *