Wed. May 22nd, 2024

Pada 21 Mac 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan OPS TIRIS dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Semenyih, Selangor yang disyaki digunakan sebagai stor penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 9.30 malam itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama beberapa hari sebelum serbuan.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 5,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah 2 disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 13,250.00.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 21 Mac 2023, sebanyak 2,582 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 1.27 juta.

KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

KPDN akan mempergiatkan operasi ke atas pihak-pihak lain yang terlibat melalui proses pengauditan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini dapat dibanteras daripada terus berleluasa.

KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di 4 Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

  1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
  2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my
  • Call Centre 1-800-886-800
  1. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my)
  2. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN
  3. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *