Sun. Apr 28th, 2024

Petaling Jaya, 25 Oktober 2022 – MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB), anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), telah mengadakan Majlis Pengisian Ilmu Perancangan Pusaka bersama peserta Akademi Daie Yadim Muda (ADMY) 2022 hari ini di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharom, Wisma Ungku A Aziz.

MAAB merupakan penaja bersama rancangan Akademi Daie Muda Yadim (ADMY) 2022 yang bersiaran langsung setiap hari khamis, jam 9 malam di TV Al-Hijrah sebanyak 8 episod.

Majlis yang diadakan pada hari ini dianjurkan dengan objektif berkongsi ilmu perancangan harta pusaka kepada pelatih ADMY 2022, agar mereka dapat menguar-uarkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkenaan urus tadbir harta pusaka seterusnya mengurangkan isu harta terbeku dan tidak dituntut dikalangan umat Islam khususnya.

MAAB juga membuka peluang kepada pelatih ADMY 2022 untuk menjadi ejen perancangan harta pusaka dengan menaja pemenang Daie Muda ADMY 2022 sebagai Rakan Niaga Premium MAAB selain menaja kursus latihan sebagai ejen kepada semua pelatih ADMY 2022.

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, sehingga hari ini, MAAB telah melakar pencapaian yang amat membanggakan dengan pendaftaran wasiat melebihi 223,247 kes dengan anggaran jumlah nilai aset sebanyak RM111.6 billion. Jika Pentadbiran Pusaka ini diselesaikan kelak, pendapatan MAAB dianggarkan sebanyak RM2.23 billion.

Antara sasaran masa hadapan ANGKASA adalah untuk menjadikan MAAB sebagai penyedia utama khidmat Perancangan dan Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia seterusnya dapat menyelesaikan masalah harta pusaka terbeku akibat daripada kegagalan menyelesaikan urusan pentadbiran harta pusaka. Selain daripada itu, ANGKASA juga membuka ruang kepada orang awam untuk menjadi ejen perancangan harta pusaka MAAB bagi memperluaskan lagi kefahaman produk perancangan harta pusaka seperti Wasiat, Hibah dan Amanah kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Beliau juga menggalakkan orang awam ataupun mana-mana syarikat yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan MAAB dan menjadi rakan niaga supaya dapat menghubungi MAAB bagi mendapatkanpenjelasan lanjut.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *