Fri. Apr 19th, 2024

Yonnyboii, seorang penyanyi rap tempatan telah kembali dengan sebuah lagi lagu hebat bertajuk “Flash & Dash”. Dari segi persembahan dan gaya, lagu yang digubah oleh Yonnyboii dan SonaOne, Wolfy, GUCCIMITH ini memang unik.

Istimewa kali ini juga, Yonnyboii berkolaborasi bersama bintang rap dari Bumi Kenyalang, Sarawak GUCCIMITH untuk menghidupkan lagi karya tersebut.

“Saya rasa lagu ni lebih segar serta menyeronokkan. Belum ada lagu dengan gaya seperti ini. Malah secara peribadi ia sesuatu yang saya sendiri tidak pernah buat. Ia boleh dianggap eksperimental untuk diri saya yang belum pernah mencuba gaya sebegini,” ujar Yonnyboii membuka bicara.

Menurutnya lagi tajuk lagu ini, iaitu Flash & Dash sememangnya terinspirasi dari sini animasi Anime Jepun yang pernah popular pada tahun 90-an.

“Pesan yang kerap dipaparkan dalam siri kartun tersebut adalah bagaimana watak-watak utamanya sentiasa ingin berusaha menjadi juara dan pemenang. Jadi itulah yang ingin saya kongsikan. Kita semua ingin jadi yang terbaik namun masa itu suntuk. Kita tidak mungkin dapat mengejar waktu. Jadi berusahalah secepatnya jika mahu berjaya,” tambahnya lagi.

“Setelah mengambil keputusan untuk menyiapkan projek ini, saya baru sedar yang saya sebenarnya memang mahu menampilkan rakan seindustri GUCCIMITH. Walaupun dia berada di Kuching, kebetulan semasa hendak merakam lagu ini dia berada di Kuala Lumpur. Jadi dia terus datang ke rumah untuk proses rakaman saya dan tidak sampai tiga jam, lagu ini siap dirakam,”jelasnya.

Lagu ini juga didatangkan dengan sebuah klip video yang menarik.

“Ini kali pertama saya membuat penggambaran video dengan gerakan kereta ‘drift’ yang begitu laju. Sangat menyeronokkan. Malah, semua yang terlibat memberi kerjasama yang baik termasuk rakan saya GUCCIMITH sendiri’” ulasnya tentang video muzik lagu tersebut.

“Saya harap semua orang akan menyukai lagu ini dan dapat menangkap pesan yang ingin cuba saya sampaikan. Sesiapa yang pernah menonton siri Anime Flash & Dash pasti tahu apa yang saya maksudkan dan mengerti perasaannya. Semoga dapat memberi inspirasi pada para pendengar,” bingkas Yonnyboii mengakhiri bicara.

Single Flash & Dash boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 26 Mei lalu, muzik lagu Flash & Dash ini telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii  pada 26 Mei lalu.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *