PENYATUAN BUDAYA DALAM GAYA MUZIK ETNIK POP ‘TERA TARI’

Demi menempa nama dalam industri muzik, artis ternama dari dua buah negara telah berkolaborasi dan menghasilkan sebuah lagu yang penuh dengan adat dan budaya. Diana Nazyra, Dhwan Abu, dan Bob Yusof memperkenalkan single terbaharu mereka, ‘Tera Tari’ iaitu sebuah ciptaan muzik berunsurkan pop moden yang menggabungkan budaya Jawa dan Sunda.

Lirik yang diolah oleh Razzaq An’Arddzy dengan hasil ciptaan oleh Diana Nazyra dan Omar K ini menjanjikan suatu halwa telinga yang moden dan menyegarkan dimana konsep lagu ini di ambil dari tarian Jaipong Karawang, sebuah warisan budaya yang menceritakan perjalanan hidup melalui seni tari.

Sebagai seorang artis yang penuh berpengalaman dalam bidang vokal dan seni persembahan, Dhwan Abu menyalurkan kepakarannya dalam lagu ini kerana beliau terpana dengan melodi yang memukau dan lenggok lirik yang menyentuh jiwa. Katanya “Pertama kali demo lagu ini dimainkan, saya sungguh tertarik dengan gaya melodinya yang jarang kita dengari pada hasil muzik zaman kini. Ia membawa sisi yang berbeza dan saya amat terpikat untuk bekerjasama menjayakannya”.

Manakala, Bob Yusof sungguh teruja dengan penyatuan elemen muzik Jawa dan beliau memandang ia sebagai suatu nafas baharu terhadap dunia muzik tradisional sekaligus memartabatkan kembali industri tersebut. “Bagi saya, Diana dan Dhwan adalah sebuah pakej lengkap. Mereka mempunyai vokal nyanyian yang baik, idea yang segar dan amat mudah untuk kami bekerjasama kerana mereka sangat berdisiplin ketika bekerja. Walaupun keserasian berjaya dibina dalam penghasilan lagu ini, cabaran utama adalah merupakan pencarian lenggok bahasa dan aturan muzik yang sesuai agar tidak lari jauh dari elemen yang digubah untuk seiring dengan gabungan muzik moden,” tambahan Bob Yusof.

Diana Nazyra dan Bob Yusof mengakui cabaran yang dihadapi untuk menggabungkan muzik tradisional Jawa dan Sunda dengan sentuhan pop kontemporari agak berat dan sukar. Namun, ia juga adalah sebuah cabaran yang membuka peluang dan ruang untuk berinovasi yang membolehkan lagu ini memupuk perpaduan melalui muzik.

Ayuh dengarkan gandingan hebat antara artis Malaysia dan Singapura, Diana Nazyra, Dhwan Abu, dan Bob Yusof dalam lagu terbaharu mereka ‘Tera Tari’. Anda boleh memuat turun lagu Tera Tari di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *