Sun. Apr 14th, 2024

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan mengenai syarikat pemungut hutang yang bertindak melampaui batas sehingga mengugut rakyat untuk mendapatkan kembali hutang.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata terdapat beberapa kes yang disiasat oleh PPIM mendapati syarikat pihak ketiga atau ‘debt collector’ ini tidak dipantau oleh mana- mana agensi kerajaan.

“Mereka sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbangkan usaha mangsa dalam menyelesaikan hutang berkenaan,” katanya.

Tambah Nadzim, walaupun had kebankrapan telah dinaikkan, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu malah mengugut untuk melelong harta yang bukan milik mangsa.

“Kami sudah semak dengan Bank Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, semua syarikat yang kami dedahkan nama kepada pihak Bank Negara tidak dipantau oleh mereka atau agensi mahupun kementerian,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, aktivis PPIM yang mengendalikan kes memaklumkan pihak BNM memberi maklumbalas syarikat-syarikat ini mungkin akan dipantau pada tahun 2035.

Dalam satu sidang media hari ini, PPIM bersama seorang mangsa mendedahkan beliau diugut oleh syarikat pemungut hutang walaupun sudah beberapa kali cuba berunding dengan syarikat pemiutang sejak dari awal.

Mangsa berkata selepas kehilangan pekerjaan, beliau menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan lain namun tidak pernah berhenti untuk berusaha menjelaskan hutang beliau yang tertunggak berjumlah RM15,000.

Mangsa yang menetap di rumah keluarga milik bapanya berkata syarikat pengutip hutang mengugut untuk melelong rumah yang didiami oleh keluarga itu walaupun geran rumah berkenaan tidak mempunyai nama mangsa dan dimiliki oleh bapanya.

Nadzim berkata, PPIM menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dan segera memastikan syarikat yang membeli fail hutang lapuk daripada institusi perbankan dikawalselia segera dan dipantau mengikut peruntukan undang-undang.

“Seluruh negara sedang sakit, sakit fizikal, mental akibat tekanan kewangan, mengapa syarikat begini dibiarkan menekan rakyat dan mengugut mereka tanpa belas kesihan, siapa pemimpin negara yang akan tampil bantu rakyat kita,” katanya.

 

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *