Sun. Apr 14th, 2024

Ketika drama bersiri Rindu Kasih lakonan Izzue Islam, Ummi Nazeera dan Amyza Aznan disiarkan di TV3 pada tahun 2022, ramai yang terkesan dengan lakonan mantap Ummi Nazeera yang melakonkan watak Salina, seorang anak perempuan yang dahagakan kasih sayang ibunya, sehingga sanggup melakukan jenayah, demi bertemu dengan ibu kandungnya yang merupakan seorang banduan.

Kembali dengan musim kedua, Rindu Kasih 2 mengisahkan kesinambungan kehidupan Salina selepas dibebaskan dari penjara. Salina nekad meninggalkan Amir (Izzue Islam) dan ibu mertuanya Halijah (Fazlina Ahmad Daud). Kini, apa yang penting dalam hidup Salina adalah menjaga syurganya, Fayyad (Dzul Hadziq).

Amir tetap tidak berputus asa untuk menjejaki Salina dan Fayyad seperti bekas suami yang gila talak. Amir mahukan Salina kembali ke sisinya dan juga ingin memiliki hak penjagaan terhadap Fayyad. Salina merahsiakan keberadaannya kecuali Hisyam saja yang tahu. Halijah pula dijatuhkan hukuman penjara.

Selepas beberapa tahun, Halijah telah dibebaskan. Salina kembali hidup dalam kegelapan selepas bertemu kembali dengan ibu mertuanya, Halijah. Malah, Salina juga difitnah menjalani hubungan dengan Hisyam (Nafiz Muaz) apabila hubungan Hisyam dan Murni (Ezzaty Abdullah) mula bermasalah.

Fayyad yang kini sudah berusia 7 tahun membesar dengan penuh kasih sayang daripada Salina. Namun, Fayyad yang menghidapi masalah hati memaksa Salina untuk berusaha keras demi menyara kos perubatan Fayyad. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Dapatkah Salina mengecapi kebahagiaan bersama anaknya selepas mengharungi pelbagai dugaan dalam hidupnya?

Ummi Nazeera teruja untuk kembali beraksi dalam kesinambungan hidup Salina menerusi Rindu Kasih 2. “Bagi saya, Salina ialah satu watak yang sarat dengan emosi dan juga seorang wanita yang kental berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam hidupnya. Salina ialah salah satu watak paling berat yang digalas sepanjang penglibatan saya sebagai anak seni. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh TV3 dan P&D Pictures Sdn. Bhd serta rakan -rakan artis dan semua krew produksi yang menjayakan Rindu Kasih 2. Kami berharap agar drama ini juga menerima sambutan yang positif daripada penonton.”

Rindu Kasih 2 terbitan P&D Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Pali Yahya serta nukilan skrip oleh  K. Adlie dan Shaza Talib. Drama bersiri 20 episod ini dibintangi oleh Ummi Nazeera, Izzue Islam, Fazlina Ahmad Daud, Dzul Hadziq, Ezzaty Abdullah, Nafiz Muaz dan ramai lagi.

Pastikan anda mengikuti Rindu Kasih 2 menerusi slot Samarinda bermula 13 Februari 2024, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3 dan atau strim di perkhidmatan penstriman iQIYI satu jam selepas siaran TV. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store. Pelanggan VIP iQIYI boleh menikmati akses VIP Ekspres bagi drama ini yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini, satu jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton selepas 48 jam.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *